Realme Malaysia akan melancarkan telefon pintar kelas pertengahan premium baharu 20 Julai nanti iaitu realme 11 Pro dan realme 11 Pro+. Hari ini di acara khas realme City Exploration Project mereka telah mendedahkan yang terdapat dua lagi produk akan dilancarkan. Produk ini adalah jam tangan pintar realme Watch 3 Pro dan set fon telinga nirwayar sebenar realme Buds Air 5 Pro.

Realme Watch 3 Pro adalah jam tangan pintar asas yang dilancarkan pada Disember tahun lalu. Jam ini hadir dengan skrin 1.78″ AMOLED (368 x 448), bateri 10 hari, menyokong lebih 100 mod sukan, boleh mengimbas nadi, membaca data SpO2, hadir dengan beberapa ciri jam tangan pintar seperti notifikasi telefon, penggera, kebolehan menukar muka jam, mengawal kamera dan banyak lagi.

Realme Buds Air 5 Pro pula adalah TWS premium mampu milik mereka. Ia hadir dengan dua pemacu audio 11mm woofer + 6mm planar, 6 mikrofon, menyokong pembatalan hingar aktif dan juga menyokong codec LDAC. Buds Air 5 Pro turut menyokong Bluetooth 5.3, perlindungan air IPX5 dan ketahanan bateri mencapai 40 jam.
Harga setiap jam ini hanya akan didedahkan pada hari pelancarannya 20 Julai nanti.
Realme Malaysia turut membuka pameran City Exploration Project yang anda boleh kunjungi di 169, Jalan Tun H S Lee. Pameran ini dibuka bermula hari ini 12 Julai sehingga 25 Julai pada jam 10 pagi – 8 malam.

Pameran ini akan memaparkan gambar-gambar yang diambil dengan realme 11 Pro dan realme 11 Pro+. Kedua-dua telefon, realme Watch 3 Pro dan realme Buds Air 5 Pro turut akan berada di sana untuk anda lihat dan cuba.