Carian
Pandang Pertama Realme 11 Pro+ – Sentuhan Gucci Menawan Hati
July 10, 2023 Fahim Zahar

Dua bulan lepas realme telah melancarkan siri realme 11 Pro yang menggunakan kamera 200MP dan direka oleh pereka barangan GUCCI, Matteo Menotto. Dua model disahkan akan memasuki pasaran Malaysia adalah realme 11 Pro dan realme 11 Pro+.

Saya sudah pun menguji peranti ini untuk beberapa minggu dan dalam artikel ini akan saya kongsi mengenai rekaan unik serta teknologi kamera 200MP yang digunakan. Pihak realme walau bagaimanapun masih tidak membenarkan spesifikasi penuh peranti ini didedahkan maka saya hanya akan menyentuh mengenai elemen rekaan dan kamera sahaja dalam artikel ini.


REKAAN – Sentuhan Gucci Menawan Hati

Realme 11 Pro dan 11 Pro+ kedua-duanya menggunakan rekaan yang sama dengan beza ketara pada kamera sahaja. Rekaan peranti dihasilkan dengan kerjasama antara realme Design Studio dan Matteo Menotto yang merupakan bekas pereka corak di jenama fesyen mewah terkemuka Gucci

Di tangan saya ini adalah realme 11 Pro+ dengan warna Sunrise Beige iaitu gabungan warna kuning air, emas dan jingga. Panel belakang diperbuat daripada kulit buatan dengan kemasan anyaman 3D. Kesan jahitan dan rekaan jalur seakan jalur ikonik Gucci turut kelihatan. Cuma pada 11 Pro+ ini ia kelihatan sedikit seakan zip seluar.

Kemasan ini membuatkan peranti selesa di dalam tangan serta memberikan cengkaman yang baik kerana tekstur kulit yang digunakan. Peranti juga mudah dikendalikan kerana cukup nipis. Bonggol kamera bulat gergasi bukan sesuatu yang baru tetapi pilihan warna dan susun atur setiap kamera membuatkan 11 Pro+ ini lebih sedap mata memandang.

Bingkai peranti berwarna keemasan dengan sisi kanan mempunyai kesemua butang laras suara dan kuasa. Di atas hanya ada lubang mikrofon, kekisi speaker, di bawah dengan port USB-C, satu lagi lubang mikrofon dan kekisi speaker serta slot kad SIM. Di hadapan terdapat lubang di tengah atas untuk kamera swafoto dan skrin pula adalah jenis melengkung dengan bezel yang nipis dan hampir sekata.

Dalam banyak -banyak peranti kelas pertengahan premium tahun 2023, berani saya katakan realme 11 Pro+ adalah peranti dengan rekaan yang paling menawan, selesa di tangan dan cukup menarik perhatian.

Kamera 200MP Yang Sohor Kini

Tahun lepas Xiaomi 12T Pro dan Samsung Galaxy S23 Ultra telah menggunakan kamera 200MP. Tahun ini perang kamera 200MP berlaku pada peranti kelas pertengahan premium. Bermula dengan Redmi Note 12 Pro+ 5G, kemudian Honor 90 dan kini realme 11 Pro+ pula.

Peranti ini menggunakan sensor utama 200MP Samsung ISOCELL HP3 SuperZoom Camera f/1.69 dengan 4x zum dan sokongan OIS. Ini dipadankan pula kepada sensor 8MP sudut ultra-lebar f/2.2 dan juga sensor 2MP f/2.4 makro. Aplikasi kamera sedia menyokong pelbagai mod seperti Street Photography, Moon, Starry Mode Pro dan Super NightScape.

Realme turut bekerjasama dengan Lonely Planet iaitu buku panduan melancong untuk tera air baharu mencadangkan peranti ini sesuai dijadikan sebagai kamera ketika bercuti untuk merakam detik-detik memori indah. Gambar-gambar di bawah adalah sampel yang diambil dengan kamera realme 11 Pro+ yang memperlihatkan butiran yang dipelihara, warna yang tajam dan kesan HDR yang baik.

Mod 200MP, tera air Lonely Planet – siang
Mod auto – suasana kurang cahaya
Mod auto – siang
Mod Street Photography + Zum pintar – malam

KESIMPULAN

Kedua-dua peranti ini iaitu realme 11 Pro dan realme 11 Pro+ akan dilancarkan di Malaysia pada 20 Julai tidak lama lagi. Tarikh yang sama dengan pelancaran Honor 90 yang juga merupakan peranti kamera 200MP. Agak menarik untuk melihat kamera berkuasa seperti ini tiba ke peranti kelas pertengahan memberi akses ciri premium pada harga lebih mampu. Setakat penggunaan beberapa minggu realme 11 Pro+ memberikan pengalaman yang baik untuk saya.

Namun saya masih tidak boleh memberi pendapat sama ada adakah ia berbaloi untuk dimiliki kerana belum ada harga jualan. Tetapi berdasarkan harga jualan set import, spesifikasi peranti yang hebat tetapi saya masih perlu rahsiakan dan jika realme Malaysia boleh menjual peranti ini pada harga bawah RM2000 ini pasti akan menjadi peranti kelas pertengahan premium terbaik.

Komen