Sokongan perisian terbaik pada Android pada waktu ini diberikan oleh Samsung dan OnePlus dengan sokongan empat versi Android serta tampalan sekuriti selama lima tahun. Tetapi Redmi telah mengesahkan Redmi K60 Ultra akan menerima sokongan yang sama.
Redmi K60 Ultra hadir dengan skrin 6.67″ OLED 144H, cip Dimensity 9200+, memori sehingga 24GB LPDDR5X, storan sehingga 1TB UFS 4.0, bateri sebesar 5000 mAh yang menyokong pengecasan ultra pantas 120W dan kemampuan kalis air IP68.
Sementara itu sistem trikamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP,ultra sudut lebar 8MP dan kedalaman 2MP. Di hadapan pula sebuah kamera 16MP pula digunakan dengan ia diletakkan dalam sebuah lubang kamera pada skrin. Dengan cip berkuasa, K60 Ultra boleh merakam video pada resolusi 8K 24FPS.
Pada waktu ini Redmi K60 Ultra hanya dilancarkan di China. Adalah dipercayai ia akan dipasarkan ke peringkat global sebagai Xiaomi 13T Pro kelak. Sokongan kemas kini yang panjang adalah baik untuk pengguna kerana peranti boleh digunakan lebih lama tanpa perlu risau mengenai kerentanan sekuriti di masa hadapan.