Dua tahun lepas Meta memperkenalkan kaca mata pintar pertama iaitu Ray-Ban Stories. Ia adalah kaca mata hitam yang mengintegrasikan platform media sosial Facebook. Kaca mata ini turut menyokong WhatsApp dan telah terjual sebanyak lebih 300,000 unit.
Pada tahun 2025 nanti, Meta dilaporkan akan hadir dengan kaca mata pintar baharu dengan skrin terbina. Sementara menantikan versi ini, Meta mungkin akan melancarkan Ray-Ban Stories generasi kedua terlebih dahulu kerana The Verge melaporkan spesifikasi tertiris mengenai kaca mata ini.

Ray-Ban Stories 2 dikatakan boleh melakukan penstriman siaran langsung terus ke Facebook dan Instagram. Paling menarik, penonton boleh berbisik kepada pemakai Stories semasa penstriman dilakukan. Bateri juga dikatakan boleh bertahan lebih lama dengan kualiti kamera yang turut dipertingkatkan.
Speaker terbina turut dikatakan lebih kuat. Sistem sekuriti turut diperkenalkan, di mana jika kaca mata telah diubahsuai, sokongan kamera akan dimatikan. Buat masa ini masih tidak pasti bila kaca mata Ray-Ban Stories generasi kedua ini akan dilancarkan. Sehingga hari ini ia masih tidak dijual di Malaysia lagi.
- Sumber
- The Verge