Sudah dua tahu saya mula serius dalam dunia audio. Walaupun begitu saya belum di tahap akan membelanjakan wang beribu-ribu ringgit untuk set fon kepala, amp, kabel dan sebagainya. Saya masih cuba mencari TWS yang sempurna dan cuba menghargai muzik dengan menggunakan IEM untuk mendapatkan butiran instrumen dan vokal yang terbaik.
Di Amanz saya sudah cuba FiiO, Tin HiFi, Moondrop dan baru-baru ini Razer pula hadir dengan IEM mereka iaitu Razer Moray. Set fon telinga berwayar ini menurut Razer adalah untuk penstriman dan gaming sepanjang hari dengan penuh keselesaan sambil menikmati audio THX dengan pementasan audio yang luas.
Persoalannya adakah IEM bernilai RM669 ini berbaloi untuk dimiliki berbanding set fon kepala atau produk audio lain dengan harga yang lebih kurang sama?
REKAAN DAN SPESIFIKASI
Melihat rekaan Razer Moray ini ia adalah mirip kebanyakan IEM atau ChiFi yang berada di pasaran sekarang. Ia ergonomik, selesa di dalam telinga, wayar boleh tanggal, memfokuskan penggunaan putik telinga jenis busa memori dan wayar bersulam yang tahan lasak. Razer hanya menggunakan rekaan yang ringkas serta warna hitam kosong dengan teks putih. Bahan binaan adalah plastik dan ianya sangat ringan.
Menurut Razer, Moray menyasarkan pengguna yang melakukan sesi penstriman atau gaming dengan jangka masa panjang kerana menjamin keselesaan sepanjang penggunaan. Untuk dalaman Moray menggunakan dwi-pemacu audio hibrid (dinamik + armature seimbang), kabel adalah jenis-Y MMCX boleh tanggal dan bicu bentuk-L plat-emas mini 3-pole.
Rekaannya yang ringkas ini adalah antitesis kepada rekaan produk gaming yang lazimnya nampak garang, agresif dan sedikit melampau. Sangat berbeza dengan rekaan tetikus dan set kepala Razer Blackshark V2 tempo hari yang nampak kompleks. Sekurangn-kurangnya Razer kini menawarkan produk nampak lebih kemas.
KUALITI AUDIO
Untuk IEM yang memfokuskan bass, Moray terlampau berdengung. Anda bayangkan bass itu adalah penyanyi dan dia sedang menyanyi di dalam bilik besar yang luas tetapi kosong. Ia menjadi bersepah tidak mempunyai definisi dan dentumannya tidak memberikan impak yang baik.
Suara wanita kedengaran lebih jelas dan lantang, sementara suara lelaki sedikit tenggelam dan kedap. Bukan itu sahaja, setiap suara penyanyi turut mempunyai warna bunyi (timbre) yang aneh seakan suara yang telah didigitalkan kemudian diubah semula ke suara sebenar.
Ia baik sahaja sebenarnya. Mada tinggi yang Moray hasilkan ada kesan dengung yang seimbang, tidak terlampau tajam dan ke arah bunyi yang menenangkan. Ini mungkin tidak mencukupi untuk semua orang tetapi sudah memadai untuk diri saya.
Pementasan audio juga agak luas menjadikan Razer Moray tiada arah tuju dalam graf audio ingin fokus ke bentuk yang mana. Instrumen menjadi serabut dan bersepah, sukar mendapatkan butiran yang biasanya mudah dinikmati pada IEM dalam harga yang sama.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Dakwaan Razer yang Moray sesuai untuk penggunaan jangka masa panjang adalah benar. Selepas saya menggunakan IEM ini untuk beberapa jam saya lupa yang ada sesuatu disumbatkan ke dalam telinga. Binaan yang ringan dan pilihan putik telinga yang lembut ini adalah perkara bijak yang Razer lakukan.
Cuma sayang sekali, kualiti audionya tidak cukup memuaskan. Ia seakan menggunakan soundbar Razer Leviathan V2 X. Kemampuannya ada tetapi penalaan menjadikan kualiti audio tidak cukup mengasyikkan. Menggunakan IEM ini tidak kira untuk bermain permainan video atau muzik adalah kurang menyeronokkan.
Katanya ada sokongan THX, di mana keunikan audio imersif dan stereo THX yang semua kenal? Tiada pada Moray bermakna adakah THX pada IEM ini hanya pada penjenamaan sahaja? Produk audio untuk gaming perlu mempunyai bass yang baik, berdentum kencang dan memberikan impak yang mendebarkan.
Bukan itu sahaja, untuk gaming jika permainan seperti PUBG saya tidak boleh mendengar bunyi tapak kaki dengan jelas apa gunanya? RGB atau kemasan warna hijau ikonik Razer juga tiada.
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut adalah apa yang anda dapat dengan setiap pembelian Moray;
- 1x Razer Moray
- 1x Tas penyimpan kalis air
- 1x Karabiner Razer
- 1x Set putik telinga silikon (S, M, L)
- 1x Set putik telinga busa memori (S, M, L)
- 1x Manual
KESIMPULAN
Razer Moray tahun ini sebenarnya adalah kelahiran semula kepada produk dengan nama sama pada tahun 2008. Pada harga jualan RM669, Razer sediakan lengkap dengan IEM, kabel, putik telinga tambahan, karabiner dan juga tas penyimpan. Satu pakej yang lengkap dan menarik jika anda ingin lengkapkan koleksi barangan Razer. Jika anda ingin mencari produk audio untuk permainan video dan penstriman, ada banyak lagi set fon kepala lain yang saya rasakan lebih elok – sama ada lebih murah atau harga lebih kurang sama.
Razer Moray adalah IEM yang terlalu flat. Sedangkan produk memfokuskan gaming yang sepatutnya ada bass gempak. Selain keselesaannya yang tidak boleh dinafikan, Moray adalah lemah jika dibandingkan dengan IEM dalam kelas yang sama.
Pro
- Rekaan yang ringkas dan minimal.
- Sangat selesa untuk penggunaan jangka masa panjang.
- Pakej belian yang berbaloi.
- Cara penggunaan yang mudah, (plug and play)
Kontra
- Audio yang tidak seberapa.
- Produk gaming yang tidak sesuai untuk gaming.
- Harga tidak mesra pengguna untuk IEM.
- Kualiti binaan tidak hebat untuk harga jualan.
Ulasan ini dijayakan oleh Li Jin Soh dengan penterjemahan dan teks tambahan Fahim Zahar