Canva semakin hari semakin hebat dalam membantu pengguna melakukan rekaan grafik, mencipta poster, resume dan banyak lagi. Beberapa bulan lepas, Magic Edit diperkenalkan yang membolehkan pengguna mengubah baju pada gambar dengan AI.
Terbaru, Magic Studio pula diperkenalkan yang membawakan lebih banyak alatan AI generatif. Antaranya adalah Magic Switch, Magic Grab, Magic Expand, Magic Morph, Magic Animate dan Magic Media.
Magic Switch membolehkan pengguna mengubah imej di Instagram menjadi poster atau poster menjadi slaid pembentangan. Magic Grab pula boleh mengubah lokasi satu elemen ke lokasi lain tanpa merosakkan bentuk dan warna.
Magic Expand adalah seakan ciri Photoshop Generative Expand, Magic Morph boleh mengubah teks atau bentuk dengan prom yang ringkas, Magic Animate pula boleh menggerakkan satu elemen ke elemen lain dengan animasi dan peralihan menggunakan prom dan Magic Media pula membenarkan pengguna menjana imej atau video dengan mudah.
Semua sedia maklum yang Canva telah pun mempunyai integrasi ChatGPT. Dengan Magic Write, kandungan teks yang ditulis pengguna boleh disemak dengan AI agar ia bersesuaian dengan tema projek. Semua ciri AI ini ada yang percuma digunakan dan ada juga terhad dengan langganan Canva Pro.