Tahun ini YouTube telah memperkenalkan banyak ciri dan fungsi menarik seperti ciri yang memudahkan pengguna menonton berita dari sumber yang sahih, ciri AI yang meringkaskan komen, permainan web Playables dan juga Dream Track untuk menjana muzik dengan suara penyanyi sebenar di Shorts.
Hari ini ketika saya sedang mencari video untuk menonton sambil makan tengah hari, saya telah menerima notifikasi di YouTube web untuk mencuba bermain permainan pada YouTube. Selepas menekan Try It, laman utama YouTube saya mula memaparkan kategori baharu iaitu Playables (Jom Main). Ia adalah bahagian untuk pengguna bermain permainan web seperti Angry Birds Showdown, Stack Bounce, Om Nom Run, Scooter Extreme dan 30 permainan lain.
YouTube Playables dilihat masih dalam peringkat ujian yang hanya boleh diuji oleh pelanggan YouTube Premium sehingga 28 Mac 2024. Playables dilihat hadir Android, iOS dan juga versi web dengan setiap permainan adalah percuma untuk dimainkan. Adakah ini jawapan YouTube kepada Netflix Games atau satu eksperimen bagi mengembalikan penstriman permainan Google Stadia yang gagal?