iQOO adalah sub-jenama kepada vivo yang pada awalnya memfokuskan kepada gaming. Tetapi selepas menerima sambutan baik daripada kalangan pengguna, iQOO menjadi jenama pesaing kepada semua kategori telefon pintar. Terbaru yang tiba di makmal Amanz adalah iQOO 12 iaitu peranti pertama yang telah dilancarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 3.
Dalam artikel ini akan saya kongsikan kepada anda mengenai pengalaman penggunaan awal peranti ini. Adakah ini peranti mercu yang anda patut beli? Adakah ianya berbaloi? Apakah ciri dan fungsi unik khusus untuk iQOO 12? Semuanya saya akan jawab dalam pandang pertama ini.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
iQOO 12 | |
---|---|
Skrin | 6.78″ AMOLED 144Hz, 2800 x 1260 HDR10+, 1400 nits |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) |
Cip | 1x 3.3 GHz Cortex-X4 5x 3.2 GHz Cortex-A720 2x 2.3 GHz Cortex-A520 |
Cip Grafik | Adreno 750 |
RAM | 32GB RAM 16GB LPDDR5X + 16GB Extended RAM (Memori Maya) |
Muatan Dalaman | 512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 64MP f/2.6, OIS, 3x Zum Optikal (Telefoto Periskop) 50MP f/2.0 (Sudut Ultra Lebar) |
Kamera Swafoto | 16 MP f/2.5 |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 120W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Pemancar IR | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari bawah skrin (Optikal) |
Harga Jualan | ¥4,299 (~RM2,814) 16/512 GB |
iQOO 12 adalah sebuah peranti mercu dengan rekabentuk yang cantik, premium dan boleh bersaing sengit dengan pengeluar lain. Ia tidak menggunakan rekaan yang klise seperti bonggol kamera yang sama dari generasi lepas atau mengitar semula rekaan peranti vivo. Peranti ini menggunakan rekaan yang mempunyai identiti tersendiri. Pertama sekali adalah bonggol kamera yang mirip Xiaomi 13 tetapi dengan setiap bucu yang lebih melengkung.

Warna unit yang saya uji ini adalah Legendary iaitu putih yang licin dan berkilat kerana merupakan edisi istimewa BMW Motorsport. Terdapat logo iQOO dengan logo BMW di sisi bahagian bawah pada belakang peranti. Kemudian iQOO 12 menggunakan rekaan peranti yang rata di sisi serta pada skrin.

Peranti ini tidak begitu berat tetapi pada masa yang sama ia tidak terasa lompong. Setiap butang di sisi kiri sedap ditekan, peranti nampak cantik sentiasa, tidak mudah menangkap kotoran cap jari serta di tangan memang rasa seakan mengendalikan peranti yang mahal.

Paling menarik adalah rekaan skrin dengan bezel yang hampir sekata. Ini memberikan pengalaman penggunaan yang baik serta sedap mata memandang. iQOO 12 menjadi peranti terawal yang telah dijual (di China) dengan Snapdragon 8 Gen 3 serta menjalankan Android 14 secara terus. Saya mengharapkan untuk pasaran Malaysia nanti, vivo Malaysia akan menawarkan beberapa pilihan warna seperti merah dan hitam yang ada di China kerana ia nampak lebih cantik dan ranggi.
PENGALAMAN PENGGUNAAN
Peranti ini menggunakan skrin AMOLED bersaiz 6.78-inci dengan resolusi 2800 x 1260, menyokong kadar segar semula 144Hz tanpa LTPO, boleh memaparkan kandungan HDR10+ dan juga mencapai kecerahan sehingga 1400 nits. Ini adalah peranti kedua dengan skrin paling lancar dan pantas pernah saya gunakan selepas ASUS ROG Phone 7 yang menyokong 165Hz.

Kemudian dengan tambahan cip Supercomputing Chip Q1, yang membantu untuk memproses imej pada skrin mempunyai resolusi lebih tinggi dengan AI – pengalaman menonton video baik pada Netflix atau YouTube adalah sangat memuaskan. Saya berjaya menghabiskan satu musim siri TV pada peranti ini kerana leka dengan visual menarik yang dipaparkan.

Dalam banyak-banyak peranti vivo yang menjalankan Funtouch OS, iQOO 12 adalah yang terbaik kerana langsung tiada iklan. Dakwaan yang Hot Games serta Hot Apps yang dibuang itu masih tiada pada peranti saya ketika hari pertama penggunaan. Tetapi dalam tempoh penggunaan kurang dua hari ini, saya telah menerima kemas kini perisian baharu yang menambahkan sokongan memori maya 16GB, menjadikan iQOO 12 mempunyai 32GB RAM.

Funtouch OS 14 berasaskan Android 14 adalah sistem operasi yang digunakan pada peranti ini. Ia sangat menarik untuk digunakan dengan beberapa tetapan mirip Android stok seakan pada Nothing OS 2.5. Jika sebelum ini sala mengadu yang Funtouch OS tidak mempunyai tetapan teratur, kali ini berbeza kerana ia lebih kemas dan memudahkan lagi saya untuk melakukan pelbagai perubahan pada sistem.
PENANDA ARAS
Snapdragon 8 Gen 3 adalah cip dengan konfigurasi 1x 3.3 GHz Cortex-X4 + 5x 3.2 GHz Cortex-A720 + 2x 2.3 GHz Cortex-A520 yang dipadankan dengan GPU Adreno 750. Untuk memori ia, unit yang saya uji ini menggunakan 16GB RAM LPDDR5X + 16GB Extended RAM (tidak boleh diubahsuai) serta storan dalaman UFS 4.0 bersaiz 512GB. Saya mempunyai jangkaan sebelum menerima peranti ini yang ia akan mempunyai prestasi yang hebat serta tiada masalah pemanasan dan nampaknya jangkaan saya itu tepat.

Sepanjang tiga hari penggunaan, setiap permua yang saya uji adalah lancar dan tiada lengah masa ketika sesi permainan. Asphalt 9 mantap, Marvel Snap hebat, Monopoly Go memuaskan dan Silent Hill Ascension juga memberikan pengalaman yang terbaik.
Peranti hanya menjadi suam yang masih boleh dipegang, lebih kurang dengan prestasi pada Snapdragon 8 Gen 2. Marvel Snap kadangkala tertutup dengan sendiri, tetapi saya boleh maafkan kerana masih banyak aplikasi yang tidak dioptimasikan dengan cip ini.

Untuk markah penanda aras, saya menggunakan AnTuTu 3D, Geekbench 6 dan 3DMark sahaja. Berbanding markah pada peranti yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 2, iQOO 12 dengan Snapdragon 8 Gen 3 ini mempunyai skor yang sangat tinggi dan berada di luar jangkaan saya. iQOO 12 mempunyai prestasi menghampiri prototaip yang kami uji di Hawaii tempoh hari. Anda boleh lihat perbandingan di bawah;
AnTuTu 3D
- iQOO 12 – 2,075,821
- iPhone 15 Pro Max – 1,523,961
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,488,776
- Xiaomi 13T Pro – 1,431,444
Geekbench 6
- iQOO 12 – 2181/6631
- iPhone 15 Pro Max – 2873/7228
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 1991/5221
- Xiaomi 13T Pro – 1284/3520
3DMark Wild Life Extreme
- iQOO 12 – 30.22 FPS
- iPhone 15 Pro Max – 22.1 FPS
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 23.03 FPS
- Xiaomi 13T Pro – N/A
3DMark Solar Bay
- iQOO 12 – 8528 / 32.43FPS
- iPhone 15 Pro Max – 4943 / 18.8FPS
- Samsung Galaxy Z Fold5 – 5628 / 21.4FPS
- Xiaomi 13T Pro – N/A
KAMERA
Kalau ulasan iQOO 11 kami memberikan markah kamera 8/10, iQOO 12 ini ada potensi untuk menerima markah 9/10 setakat ujian awal ini. Konfigurasi kamera 50MP f/1.7, OIS sudut lebar + 64MP f/2.6, OIS telefoto periskop 3x zum optikal + 50MP f/2.0 sudut ultra lebar serta kamera swafoto 16MP f/2.5 yang digunakan memberikan hasil yang mengejutkan.
Aplikasi kamera mirip peranti vivo, terdapat banyak ciri menggunakan AI, serta ciri tambahan yang boleh menjadikan pengguna biasa seakan jurugambar profesional. Sokongan zum optikal yang hebat, memelihara butiran dengan baik dan menghasilkan warna yang tajam serta cantik ini membuatkan saya terkejut kenapa saya rasakan iQOO 12 mempunyai kamera lebih baik berbanding vivo X90? Anda lihat sendiri hasilnya di bawah;





KESIMPULAN
iQOO 12 adalah peranti mercu yang saya rasakan menarik untuk dimiliki. Ia mempunyai rekaan yang cantik, ringkas dan premium. Ia mempunyai perisian yang baik dengan jaminan kemas kini tiga generasi Android. Ia mempunyai prestasi hebat dan kamera yang memuaskan serta menyokong pengecasan pantas. Baru tiga hari menggunakan peranti ini saya sudah mula jatuh cinta padanya. iQOO 12 mungkin akan merampas tempat OnePlus dan Nothing yang selama ini menjadi “kekasih hati” saya.

Di China variasi 16/512 GB dijual pada harga sekitar RM2800 sahaja. Jika mengikut trend perbezaan harga iQOO di China dan di Malaysia, saya menjangkakan iQOO 12 akan dijual pada harga sekitar RM3299. Jika ini adalah harganya, peranti ini akan menjadi peranti mercu pertama Malaysia dengan cip Snapdragon 8 Gen 3 dan Android 14 serta yang paling berbaloi untuk dimiliki.