Cari @ Amanz

China dikenakan halangan teknologi oleh Amerika Syarikat. Akibatnya NVIDIA dan AMD dihalang daripada menjual cip kecerdasan buatan (AI) mereka yang terbaik kepada China. Bagi memenuhi keperluan pasaran tersebut, NVIDIA melancarkan cip H800 yang lebih perlahan supaya tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan kerajaan Amerika.

NVIDIA HGX H200

Terkini Setiausaha Perdagangan Amerika, Gina Raimondo mengeluarkan amaran kepada NVIDIA supaya tidak cuba mencari jalan memintas halangan yang telah dikenakan. Menurut beliau sebarang usaha menghasilkan cip AI baharu berasaskan cip terkini untuk pasaran China akan turut dimasukkan ke dalam senarai perkakasan yang diharamkan jualannya keesokan harinya.

Muncul laporan NVIDIA akan melancarkan cip HGX H20, L20, dan L2 untuk China sebagai versi alternatif kepada H200 yang baru dilancarkan. Pelancarannya telah ditangguhkan ke tahun hadapan kerana ingin melihat apakah garis panduan baharu yang membenarkan ia dijual ke pasaran China.

China kini sedang pesat membangunkan cip rekaan tempatan bagi mengurangkan pergantungan kepada negara luar yang mendatangkan impak kepada industri tempatan. Ini juga bagi memastikan China akan mempunyai kuasa perkomputeran 300 exaFLOP menjelang 2025. Baidu misalnya telah mula membeli cip AI 910B Ascend keluaran Huawei pada pelayar milik mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd