Carian
Ulasan Edifier Hecate GX05 – Rekaan Aneh, Bunyi Tak Hampeh
December 19, 2023 Fahim Zahar

TWS paling unik pernah saya uji sebelum ini ialah Nothing Ear kerana rekaan lutsinar. Kualiti audio pun menarik untuk harga jualannya. Baru-baru ini ada satu lagi TWS dengan rekaan bukan sahaja unik tetapi turut kelihatan aneh seakan Flux Capacitor dalam Back to the Future. Ia adalah Edifier Hecate GX05. Hecate GX05 turut memberikan saya pengalaman yang menarik dan dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaannya.


SPESIFIKASI

Edifier Hecate GX05
JenisSet fon telinga nirwayar sebenar
Jenis dalam telinga
Pemacu Audio10mm jenis dinamik
Mikrofon2x mikrofon
Pembatalan HingarPembatalan Hingar Aktif (ANC)
BateriSehingga 16 jam
TambatanBluetooth 5.3
Dongel 2.4Hz USB-C
CodecSBC, LDHC 5.0
PengecasanUSB-C
Sokongan aplikasiTiada buat masa ini
KawalanButang fizikal
Kemampuan kalis airTiada
Harga JualanRM599

REKAAN DAN PENGGUNAAN

Hecate GX05 adalah TWS yang cukup unik kerana tiada bahagian penutup seperti TWS biasa. Sebaliknya menggunakan tiga bilah “kipas” yang boleh dipusingkan ke satu arah untuk “buka” atau “tutup”. Lampu RGB sebagai indikasi untuk bateri dan juga status tambatan turut disediakan. Kipas ini mengingatkan saya kepada sebuah fidget spinner cuma ia tidak boleh berputar 360 darjah.

Pod pengecas logam ini agak berat dengan bucu yang tajam sehingga boleh mencalarkan skrin telefon jika ia berada di dalam kocek seluar. Ia turut mempunyai satu butang fizikal sebagai suis kuasa serta untuk kawalan RGB. Menariknya, satu dongel USB-C turut disediakan untuk sambungan dengan sela masa yang rendah agar sesuai untuk gaming. Bukan itu sahaja, dongel ini turut membenarkan tambatan dwi-pranti serentak.

Sayang sekali, Hecate GX05 tidak menyokong sebarang tambatan pantas seperti Google Fast Pair atau Microsoft Swift Pair. Walau bagaimanapun, sokongan Bluetooth 5.3 telah sedia menyokong tambatan pantas ini untuk kebanyakan peranti Android serta iOS setiap kali jejari mekanikal ini diputarkan.

KUALITI AUDIO

Edifier Hecate GX05 menggunakan profil bunyi berbentuk V, di mana ia memfokuskan bass dengan dentuman yang kuat serta memberi impak yang cukup baik. Profil seperti ini adalah untuk pengguna yang menggemari bass seperti mendengar muzik yang banyak instrumen dram, Rock dan yang rancak.

Walaupun begitu, bassnya kadangkala tidak begitu enak kerana ia tidak konsisten dengan semua muzik. Ini memberi kesan kepada vokal yang kedengaran halus yang sepoi-sepoi bahasa. Tidak kira penyanyi lelaki atau perempuan, suara masing-masing manja dan tidak cukup kuat untuk menikmati suara merdu penyanyi.

Mengejutkan yang TWS ini mempunyai kejelasan yang baik serta cukup tajam. Begitu juga dengan bunyi nada tinggi yang cukup seimbang. Ia tidak begitu menyerlah, sebaliknya cukup-cukup makan. Hecate GX05 adalah TWS yang memfokuskan kepada gaming berbanding kualiti audio, kerana pementasan audio kedengaran serabut dan sangat dekat dalam kepala pengguna seakan kumpulan penyanyi yang sedang menyanyi dan bermain instrumen berada sangat dekat dengan pendengar.

Ini menjadikan saya sukar untuk menerima butiran yang terbaik serta resolusi audio yang enak. Tahap laras suara juga cukup kuat dan banyak muzik kegemaran saya membuatkan saya ingin hentak kaki dan berdansa. Dengan pengalaman menguji pelbagai jenis TWS, Edifier Hecate GX05 adalah seakan gabungan Sony WF-1000XM5 dengan Jabra Elite 8 Active.

KAWALAN DAN LAIN-LAIN

Amat mengecewakan aplikasi Edifier Connect tidak menyokong TWS ini walaupun telah dilancarkan di Malaysia sejak sebulan lalu. Ini bermakna, semua media terhad dengan kawalan sesentuh sahaja seperti sentuh sekali untuk jeda, sentuh dua kali untuk langkau dan sebagainya.

Bukan itu sahaja dengan tiada aplikasi, lampu RGB pun terhad kawalannya dan paling menyakitkan hati adalah ciri LHDC untuk memainkan muzik berkualiti tinggi sukar dilakukan. Tidak pasti sama ada mod biasa TWS ini adalah LHDC kerana hanya ada dua mod sahaja dengan satu lagi adalah untuk mod gaming.

Penggunaan dongel USB-C yang ditawarkan memudahkan Hecate GX05 disambungkan kepada mana-mana peranti dengan USB-C atau turut boleh digunakan bersama-sama dengan konsol PlayStation 5 atau Xbox dengan mudah. Dongel turut mempunyai RGB sama seperti pada setiap satu fon telinga. Turut tidak lupa yang Edifier merekabentuk setiap satu fon telinga untuk di selesa dipakai serta mempunyai cengkaman yang baik.

BATERI

Dakwaan Edifier yang ketahanan bateri Hecate GX05 boleh mencapai sehingga 16 jam ini adalah benar. Ini kerana sepanjang hampir sebulan penggunaan, bateri TWS ini benar-benar tahan dan penggunaan satu hari satu jam tiada masalah untuk bertahan sehingga dua minggu.

Pengecasan USB-C disokong tetapi tidak cukup pantas dan yang saya tidak suka adalah TWS RM599 masih tidak menyokong pengecasan nirwayar. Ini mungkin kerana bahan binaan logam yang menghalang ciri ini untuk berfungsi.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Edifier Hecate GX05.
  • 1x Set tambahan putik telinga.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kantung penyimpan.
  • 1x Manual.

KESIMPULAN

Edifier Hecate GX05 adalah TWS yang baik. Ia menawarkan bass yang berdentum dengan baik serta mempunyai kejelasan yang boleh diterima. Rekaan ranggi yang unik dengan jejari mekanikal, sokongan RGB, sambungan dengan dongel USB-C serta dijual pada harga RM599 – ini adalah antara TWS gaming yang akan memberi anda satu pengalaman penggunaan yang baik. Tidak dinafikan ada banyak lagi TWS dalam lingkungan harga sama yang audio lebih baik tetapi tiada yang menggunakan rekaan aneh seperti ini selain Nothing.

PRO Dan KELEBIHAN

  • Rekaan yang sangat unik.
  • Binaan premium dengan logam.
  • Penutup mekanikal boleh putar yang menarik.
  • Sistem RGB yang boleh dikawal pengguna.
  • Sokongan LHDC 5.0.
  • Dwi-sambungan serentak; Bluetooth dan dongel

KONTRA Dan KEKURANGAN

  • Kualiti audio yang terlampau fokus ke bass.
  • Tiada aplikasi untuk kawalan equaliser dan pembatalan hingar.
  • Tiada sambungan Fast Pair.
  • LHDC 5.0 seakan tidak berfungsi kerana seakan tiada beza dengan muzik biasa.
  • Tiada ANC sebenar pada harga RM599.
  • Agak tajam dan mudah mencalarkan skrin telefon di dalam kocek.

*Ulasan ini dijayakan dengan bantuan Li Jin Soh, audiophile Amanz.

Komen