Carian
Apple Dilaporkan Akan Membayar Royalti Lebih Kepada Artis Yang Menggunakan Dolby Atmos
December 12, 2023 Fahim Zahar

Anda mungkin akan memilih Spotify sebagai platform penstriman audio kegemaran atau YouTube Music kerana langganan yang termasuk dengan YouTube Premium. Tetapi saya setia dengan Apple Music kerana sokongan audio spatial Dolby Atmos ditawarkan pada platform penstriman ini tanpa kos tambahan.

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber dalaman, Apple Music akan memberikan bayaran royalti lebih tinggi kepada artis yang menawarkan audio menggunakan format audio spatial Dolby Atmos. Dua sebab diberikan mengapa ini dilakukan Apple.

Pertama ialah untuk meningkatkan adaptasi dan kandungan Dolby Atmos di Apple Music. Kedua ialah bagi menggalakkan pembelian kelengkapan Apple yang menyokong Dolby Atmos.

Menariknya pembayaran royalti tambahan kepada artis ini tidak akan bergantung kepada muzik Dolby Atmos yang distrim pengguna tetapi bergantung kepada sama ada format ini ditawarkan oleh artis. Sokongan Dolby Atmos pada Apple Music turut boleh dinikmati oleh pengguna Android jika peranti menyokong format audio ini. Pembayaran tambahan ini dilaporkan akan bermula seawal tahun 2024 nanti.

Berita lain berkaitan penstriman audio dan pembayaran royalti adalah Spotify. Mereka akan merombak semula sistem pembayaran royalti bagi mengelakkan penipuan penstriman, seperti artis yang menawarkan senarai main bunyi hingar (white noise) dengan banyak trek tetapi durasi pendek agar ia dimainkan secara bergilir dan berulang kali.

Komen