Cari @ Amanz

TicWatch adalah jam tangan pintar yang dikeluarkan oleh Mobvoi, sebuah syarikat yang pernah menerima pelaburan Google untuk menjayakan Wear OS. Jam-jam TicWatch ditawarkan pada harga agak mampu milik, cuma mereka ada masalah dalam memberikan kemas kini yang pantas dan konsisten. Kini selepas dua tahun Wear OS 3.0 diperkenalkan, jam-jam TicWatch akhirnya mula menerima kemas kini Wear OS ini.

TicWatch Pro 3

TicWatch Pro 3 Ultra GPS, TicWatch Pro 3 GPS dan TicWatch E3 adalah jam yang menerima kemas kini ini. Setiap jam ini dijana cip Snapdragon Wear 4100+, wajib menggunakan aplikasi Mobvoi Health pada Android atau Health CoPilot pada iOS dan jam perlu melalui proses format dan tetapan semula.

TicWatch E3

Menurut Mobvoi, jam-jam ini mengambil masa yang lama untuk menerima kemas kini Wear OS 3.0 kerana perlu membangunkan semula sistem operasi agar setiap aplikasi dan sensor boleh berfungsi dengan baik. Di Malaysia, walaupun Mobvoi telah menarik diri dari pasaran tempatan – anda masih boleh mengemaskini tanpa sebarang masalah. Kini giliran TicWatch Pro 5 pula menantikan kemas kini Wear OS 4.0.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd