Cari @ Amanz

Honda memperlihatkan logo baharu khusus untuk kenderaan elektrik (EV) mereka di CES. Dalam acara yang sama mereka memperlihatkan juga dua konsep EV di bawah siri Honda 0 ialah The Saloon dan Space-Hub. Siri Honda 0 mendapat namanya kerana ia menandakan syarikat bermula daripada sifar selepas menceburi arena EV.

The Saloon ialah sebuah kereta sedan dengan rekaan berkotak yang mengingatkan kami kereta Lamborghini dari era 1980an. Kenderaan mempunyai ruang dalaman model yang luas serta boleh mengubah postur duduk pemandu bergantung kepada situasi. Rekaan dalaman pula menggunakan bahan yang lebih mesra alam. Sistem stereng adalah dari jenis steer-by-wire yang tidak mempunyai sambungan fizikal seperti yang digunakan di Cybertruck dan kapal terbang Airbus.

Space-Hub pula adalah sebuah van dengan ruang dalaman yang luas. Menurut Honda ruang ini boleh diubahsuai dengan mudah bagi membolehkan ia digunakan untuk pelbagai tugasan. Stereng Space-Hub adalah dari jenis yoke yang boleh disorokkan apabila dalam mod swapandu.

Bahagian bumbung pula diperbuat daripada kaca besar yang memberikan pandangan panorama. Seperti The Saloon, Space-Hub mempunyai tubuh berkotak yang kelihatan sedikit retro lengkap dengan sistem lampu berbentuk empat segi di bahagian belakang.

Honda berkata siri Honda 0 akan mula ditawarkan kepada orang ramai terlebih dahulu menerusi The Saloon seawal 2026. Menarik di sini ialah ia adalah tahun yang sama Sony Honda Mobility Afeela akan dilancarkan. Ini membuka persoalan sama ada Honda dan Sony Honda Mobility mempunyai perkongsian platform EV serta trenkuasa.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd