Cari @ Amanz

Infinix turut menghadirkan diri di acara CES 2024. Di sini mereka telah memperlihatkan tiga konsep teknologi yang menarik iaitu E-Color Shift, AirCharge dan Extreme-Temp Battery. Ketiga-tiga inovasi yang diperlihatkan ini berpotensi mengubah pasaran telefon pintar jika teknologinya diperluaskan.

E-Color Shift

Telefon dengan panel belakang panel E-Ink sudah banyak kali diperkenalkan dan ia telah wujud sejak 2014 menerusi YotaPhone. Infinix menawarkan kelainan kerana skrin E-Ink di belakang telefon E-Color Shift adalah dari jenis berwarna. Bukan sahaja warna panel belakang boleh diubah, pelbagai corak turut boleh dipaparkan oleh pemilik. Dengan penggunaan kuasa yang rendah, ia tidak akan menjejaskan bateri telefon.

AirCharge

AirCharge pula mengecas telefon secara nirwayar sepenuhnya dari jarak jauh. Telefon ini boleh dicas pada kuasa 7.5W dengan jarak sehingga 20 cm serta sudut 60 darjah daripada pengecasnya. Teknologi yang serupa pernah diperlihatkan oleh Energous WattUp dan Xioami Mi Air Charging sebelum ini yang masih belum digunakan pakai pada peranti komersial sehingga sekarang.

Extreme-Temp Battery

Infinix turut memperlihatkan teknologi bateri boleh dicas pada suhu -40 hingga 60 darjah tanpa sebarang masalah. Bateri ini menggunakan elektrolit biomimetik dan teknologi lakuran keadaan pepejal. Secara lazimnya pengecasan pada suhu ekstrem seperti ini akan dihentikan pada peranti bagi mengelakkan kerosakan pada bateri.

Infinix tidak berkongsi telefon model mana yang akan hadir dengan setiap ciri ini atau setiap ciri pada model berbeza mengikut pasaran telefon di negara mana. Saya berminat dengan AirCharge dan amat mengharapkan lebih banyak telefon boleh hadir dengan panel belakang unik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd