Samsung Galaxy S24, S24+ dan S24 Ultra telah pun dilancarkan awal pagi tadi. Ketiga-tiga telefon pintar baharu Samsung ini secara tidak langsung menjadi telefon AI pertama tahun 2024. Setiap peranti ini didatangkan dengan Galaxy AI yang dikuasakan oleh Google Gemini Pro dan Gemini Nano.
Galaxy AI menawarkan ciri seperti Call Assist, Chat Assist atau Note Assist yang boleh digunakan tanpa internet atau data diproses di awanan. Sementara ciri Circle To Search yang dibina oleh Google memerlukan akses internet. Jika peranti Samsung baharu sudah dikuasakan dengan Galaxy AI yang ada integrasi AI Google yang hebat, apa akan terjadi kepada Bixby?
Menurut Android Authority, Bixby akan dikekalkan. Malah, pembantu maya ini akan dikembangkan untuk menjadi lebih baik agar ia lebih berguna. Dengan Google yang tidak ingin melepaskannya, Bixby turut dijangka akan diintegrasikan dengan sistem AI baharu untuk SmartThings dan banyak lagi.