OnePlus 12 dan OnePlus 12R telah pun dilancarkan untuk pasaran global. OnePlus 12 hadir dengan kamera yang boleh mimik Hasselblad X2D 100C dan OnePlus 12R pula hadir dengan skrin AMOLED LTPO4 pertama dunia. Terdapat satu lagi perkara yang menarik perhatian saya, iaitu koleksi kerangka pelindung rasmi mereka.

OnePlus memperkenalkan kerangka pelindung Walnut dengan tekstur kayu walnut sebenar untuk OnePlus 12. Kerangka pelindung dengan kemasan kayu ini kali terakhir ditawarkan pada siri OnePlus 6. Ia sebenarnya bermula dengan OnePlus 2 melalui StyleSwap iaitu panel belakang boleh tukar. Kemudian ia telah menjadi kerangka sahaja sejak OnePlus 3. Buat masa ini masih tidak pasti jika edisi khas OnePlus 12 dengan panel belakang istimewa seperti OnePlus 11 Jupiter Rock akan ditawarkan.

Seperti biasa, OnePlus turut menawarkan klasik Sandstone dan Aramid Fiber. Sementara OnePlus 12R hanya menerima pilihan Classic Texture dengan corak gentian karbon dan Sandstone. Harga jualan adalah sekitar $19.99 (~RM94) untuk setiap kerangka.