Set kepala realiti gabungan paling canggih Apple Vision Pro sudah boleh dipratempah dengan jualan terbuka bermula 2 Februari ini. Harga Apple Vision Pro mencecah RM18,000 dan dipercayai sebanyak 160,000 ke 180,000 unit telah ditempah.
Untuk seseorang membeli Apple Vision Pro, ia lebih sukar berbanding membeli iPhone atau MacBook. Kerana Apple mewajibkan pengguna log masuk Apple ID serta melakukan imbasan kepala untuk saiz terbaik. Terbaru, Kasada iaitu firma yang memerangi bot melaporkan yang ribuan Apple Vision Pro telah ditempah oleh scalper menggunakan bot dan berjaya memintas imbasan kepala untuk pembelian.
Menurut firma ini, dalam banyak-banyak bot yang cuba memborong Vision Pro – satu berjaya menempah sebanyak 1,592 unit. Jualan dilakukan di eBay dengan harga mencapai 70% lebih mahal. 9to5Mac melaporkan ada penjual menawarkan sehingga $10,000 untuk satu unit.
Jika anda tertanya, adakah mereka yang membeli Vision Pro daripada scalper boleh pakai dengan selesa? Jawapannya, ya. Ini kerana Apple membenarkan setiap Vision Pro diganti dengan unit lain jika salah saiz. Malah, scalper ini turut ada menawarkan pembeli untuk terus ambil sendiri di kedai fizikal Apple selepas membeli dengan mereka agar menerima bantuan pekerja Apple untuk proses tetapan dan lain-lain.
Di Malaysia, scalper hanya terkenal dengan memborong iPhone dari Hong Kong, Singapura atau Amerika Syarikat dan jual pada harga mahal. Buat masa ini masih tidak pasti jika Vision Pro akan dijual di Malaysia ataupun tidak dan adakah akan ada scalper sanggup memborong Vision Pro untuk ditawarkan ke peminat di Malaysia.