Carian
Google Mula Membawakan Ciri Quick Share Ke Peranti Android Lain
February 2, 2024 Fahim Zahar

Nearby Share adalah ciri perkongsian fail pantas secara nirwayar Google sebagai jawapan kepada AirDrop oleh Apple. Tetapi sebelum Google memperkenalkan ciri ini, pengeluar peranti Android telah hadir dengan sistem masing-masing seperti Xiaomi Mi Share, Samsung Quick Share, dan OnePlus Share.

Kemudiannya Xiaomi, Oppo dan vivo menyokong sistem penghantaran antara satu sama lain. Google telahpun menyeragamkan ciri perkongsian dengan menukar nama Nearby Share ke Quick Share beberapa minggu lalu menerusi kerjasama Samsung. Quick Share versi baharu ini kemudiannya diberikan kepada siri Samsung Galaxy S24 sahaja.

Hari ini pengguna Android lain seperti Pixel 8, Pixel 7, OnePlus 11, Poco X6 Pro dan Xiaomi 13 turut telah menerima kemas kini ke Quick Share baharu ini bersama-sama dengan ikon baharu. Dengan kemas kini ini, pengguna Samsung Galaxy lain boleh menggunakan Quick Share ke peranti Android lain. Pengguna Samsung yang ingin berkongsi menggunakan kod QR kini mempunyai had 5GB berbanding 3GB sebelum ini.

Komen