Cari @ Amanz

Setiap kali perbincangan mengenai produk audio dengan teknologi pembatalan bunyi hingar (ANC) dilakukan, jenama Sony, Bose atau Sennheiser akan menjadi tumpuan sehingga jenama lain terlepas dari radar. Salah satu jenama ini adalah JBL dengan set fon kepala JBL Tour One M2 telah dijual di Malaysia.

JBL popular dengan penawaran speaker mereka seperti set teater rumah JBL Bar 1000 yang mahal tetapi kehebatannya setanding dengan harga dan kami pernah mengulas produk ini. Set fon kepala JBL Tour One M2 (nama yang agak panjang) dijual pada harga RM1699 yang adalah lebih mahal berbanding Sony WH-1000XM5 atau siri Bose QuiteComfort. Persoalannya, adakah ia berbaloi dan lebih baik daripada pesaing?

SPESIFIKASI

JenisSet Fon Kepala Tertutup
Pemacu40mm
Mikrofon7x
ANC
Ciri PintarSmart Talk
TalkThru
SambunganBluetooth 5.3
Bateri50 jam tanpa ANC
30 jam dengan ANC
2 jam pengecasan
KawalanAndroid, iOS
JBL Headphones
HargaRM1699

REKAAN DAN PENGGUNAAN

Jika anda merasakan produk audio Sony atau Bose adalah plastik dan terasa murah, JBL Tour One M2 ini juga sama plastik tetapi terasa lebih kukuh. Disebabkan ia lebih kukuh, berat tambahan dapat dirasai pada kepala selepas penggunaan yang lama. Ini saya boleh terima lagi kerana Tour One M2 yang direka agar boleh dilipat untuk disimpan di dalam bekas penyimpan keras yang disediakan.

Cawan telinga di sebelah kiri mempunyai butang untuk mengawal mod pendengaran serta port USB-C untuk pengecasan. Sementara pada cawan kanan terdapat suis sambungan, port bicu audio 3.5mm dan butang laras suara. Satu perkara yang saya amat sukakan pada Tour One M2 ini adalah panel sentuhan pada cawan kanan yang mudah digunakan.

Kembali kepada terasa berat selepas penggunaan jangka masa panjang tadi, yang mana ia masih rasa selesa dan tiada keinginan untuk berhenti mendengar muzik. Saya ada masalah yang sama menggunakan Tour One M2 sama dengan menggunakan WH-1000XM3 beberapa tahun lepas, iaitu saya akan mudah berpeluh dan rasa panas walaupun berada di dalam bilik yang cukup sejuk.

KUALITI AUDIO

JBL Tour One M2 menggunakan profil audio berbentuk U. Ini bermaksud JBL menekankan bass dan juga treble dan pada masa yang sama turut mementingkan keseimbangan. Setiap frekuensi individu dipisahkan dengan baik sehingga vokal juga mempunyai kejelasan yang bagus.

Sama seperti JBL Bar 1000, Tour One M2 turut mempunyai bass yang berdentum dengan kencang. Ia tidak terlalu bergema, mempunyai hentakan yang mencukupi serta terkawal dan tidak mengganggu butiran. Satu masalah yang saya rasakan adalah ia tidak cukup luas dan dentuman bass itu seakan di satu tempat sahaja.

Kemampuan vokal seperti yang saya katakan tadi adalah jelas. Tetapi ia sebenarnya sedikit nipis dengan suara lelaki lebih baik dan mendalam sementara suara wanita lagi-lagi lagu K-Pop atau J-Pop akan menjadi sedikit nyaring. Treble pula kedengaran rangup dan tidak terlampau tajam, di mana untuk sepasang set kepala ia cukup lebar dan luas seakan menggunakan set fon kepala separa terbuka.

Untuk pementasan audio, pemisahan setiap instrumen adalah cukup baik. Pengalaman pendengaran imersif itu hampir ada, tetapi di dalam kepala persembahan audio itu tidak berada di pentas yang luas dan seakan seorang yang gayat kali pertama ke konsert mempunyai sudut pemandangan yang jauh. Resolusi audio serta pemeliharaan butiran tidak sempurna tetapi mencukupi.

ANC PALING OKAY!

Sehingga hari ini saya masih bersetuju, Sony adalah pengeluar produk audio dengan teknologi ANC terbaik. Tetapi, terbaik tidak bermakna sempurna. Misalnya, pada hemat saya OnePlus Buds Pro 2 mempunyai kualiti ANC lebih baik berbanding Sony WF-1000XM5 dan Jabra Elite 10 adalah yang terbaik pernah saya gunakan. Tour One M2 mempunyai ANC yang baik-baik sahaja. Bunyi penyaman udara masih kedengaran ketika di pejabat, ia hanya mempunyai kemampuan ANC yang sederhana. Ia juga bersih dan selesa dengan tiada kesan desingan atau kedap yang melampau.

KAWALAN DAN APLIKASI

Set fon kepala ini tidak mempunyai banyak butang berbanding dengan beberapa set fon kepala lain. Jadi, mencari dan menekan butang untuk laras suara atau mengawal Ambient Sound agak mudah dan terus terang.

Panel sentuhan hanya berada di panel cawan kanan yang menyokong gestur satu tap main/jeda, dua tap lankau, tiga tap kembali dan menyeru pembantu digital Google Assistant atau Alexa dengan tap dan tahan. Ia mudah digunakan dan tidak begitu sensitif, ia adalah ciri bonus yang saya suka. Jika ada tombol laras suara seperti AirPods Max – ia adalah set fon kepala sempurna untuk saya.

Aplikasi JBL Headphones untuk mengawal Tour One M2 ini sangat mudah digunakan. Kawalan EQ, Spatial Sound dan banyak lagi boleh ditetapkan dalam antaramuka yang sangat mesra pengguna. Satu ciri yang saya tidak sangka JBL boleh berikan adalah Smart Talk seakan ciri yang sama pada siri Sony XM5 – muzik berhenti apabila ada orang ingin bercakap. Cuma, kelainan pada JBL adalah muzik tidak diberhentikan sepenuhnya sebaliknya laras suara diturunkan kemudian ciri tembus bunyi TalkThru diaktifkan dan boleh tetapkan masa untuk berapa lama ciri ini aktif.

Tour One M2 turut mempunyai sensor ambien cahaya untuk auto jeda/main apabila set fon kepala ditanggalkan. Masalahnya, sensor yang digunakan tidak begitu tepat. Muzik boleh main secara automatik secara tiba-tiba walaupun ia tidak dipakai. Saya hanya boleh jedakan semula pada telefon atau menggerakkan sedikit cawan telinga. Malam-malam seram weyh!

BATERI

Sepanjang beberapa bulan saya menjadikan set fon kepala ini sebagai produk audio harian saya, ketahanan bateri adalah memuaskan. Tanpa ANC ia boleh beroperasi selama 50 jam dan mampu bertahan sekitar 30 jam dengan ANC. Perkara yang mengecewakan adalah set fon kepala yang mahal ini tiada sokongan pengecasan pantas. Ia mengambil masa hampir dua jam dari 0% ke 100%.

APA ADA DALAM KOTAK?

JBL Tour One M2 sedia dilipat dan disimpan di dalam bekas simpanan semasa dikeluarkan dari kotak. Di dalam bekas ini terdapat kabel USB-A ke USB-C, kabel bicu audio 3.5mm, penyesuai untuk kapal terbang dan buku panduan. Ini adalah pakej biasa untuk kebanyakan set fon kepala dengan ANC untuk berharga atas RM1000 (kecuali Apple). Bekas ini keras yang membantu mengelakkan kandungan dipenyek dengan mudah.

KESIMPULAN

JBL Tour One M2 adalah set fon kepala yang baik. Ia membawakan kemampuan bass yang sama dengan set teater rumah mereka, menawarkan resolusi audio yang mencukupi, aplikasi yang mesra pengguna, dan mudah alih kerana boleh dilipat dan disimpan dalam tas keras yang agak kecil. Tetapi dengan vokal yang sedikit nipis, ANC yang baik tetapi tidak membatalkan hingar sepenuhnya dan sedikit berat – harga RM1699 adalah agak mahal berbanding dengan pesaing. ANC untuk set fon kepala masih layak dipegang oleh Sony lagi dengan JBL masih perlu mempunyai algoritma, mikrofon dan sensor yang lebih baik untuk bersaing dengan jenama Jepun ini.

PRO/KELEBIHAN

  • Bass yang menyeronokkan.
  • Resolusi audio yang baik.
  • ANC yang sedap -sedap sahaja dengan ciri Smart Talk.
  • Aplikasi yang mudah digunakan dengan banyak ciri.
  • Boleh dilipat dan mudah dibawa ke mana sahaja.

KONTRA/KEKURANGAN

  • Vokal yang sedikit nipis.
  • ANC yang tidak membatalkan hingar sepenuhnya.
  • Walaupun selesa, rasa berat itu masih ada.
  • Agak mahal, terutamanya jika dibandingkan dengan Sony.

*Penafian, ulasan oleh Li Jin Soh (Audiophile Amanz) yang diterjemahkan dengan teks tambahan oleh Fahim Zahar.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd