Carian
Ulasan Jabra Elite 10 – Semakin Maju, Bertambah Padu
November 8, 2023 Fahim Zahar

Saya sedari masih ramai di luar sana menggemari set fon telinga dengan rekaan seakan EarPod? Tetapi sayang sekali, aksesori audio seperti ini jarang ditawarkan kerana permintaan tinggi untuk TWS jenis masuk dalam-telinga (in-ear). Ini mungkin antara sebab Jabra melancarkan Elite 10 bagi mereka yang lebih gemarkan rekaan ini. Tetapi adakah berbaloi membelanjakan RM1299 untuk memiliki Jabra Elite 10?


SPESIFIKASI

Jabra Elite 10
JenisSet fon telinga nirwayar sebenar
Jenis separa dalam telinga
Pemacu Audio10mm
Mikrofon6x mikrofon MEMS
Sidetone, HearThrough
Pembatalan HingarPembatalan Hingar Aktif (ANC)
Jabara Advance ANC
BateriSehingga 36 jam
TambatanBluetooth 5.3
Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair
CodecAAC, SBC
PengecasanUSB-C
Pengecasan nirwayar
Sokongan aplikasiSound+
iOS, Android
KawalanButang fizikal
Kemampuan kalis airIP57(Fon Telinga)
IP54 (Pod Pengecas)
Harga JualanRM1299
(Cream, Cocoa, Titanium Black dan Gloss Black)

Pertama sekali amat mengecewakan apabila TWS bernilai lebih RM1000 masih tidak menyokong codec LDAC atau LHDC. Pesaing lain yang menjual pada harga berkali ganda lebih murah boleh menyertakannya. Tetapi terdapat sokongan Spatial Sound by Dolby dengan penjejakan kepala untuk audio imersif. Disebabkan sensor ini, Jabra terpaksa membuang perlindungan IP68 yang ada pada Elite 8 Active dan hanya memberikan sokongan IP57 pada fon telinga dan IP54 pada pod pengecas.

Seperti biasa, Jabra kekal menawarkan mod tembus bunyi HearThrough mereka bersama-sama dengan teknologi pembatalan hingar baharu iaitu Jabra Advanced ANC. Kali ini ia tidak boleh dilaras tetapi boleh berubah dengan pintar mengikut situasi. Ini mungkin tidak akan digemari oleh segelintir pengguna yang inginkan kebebasan menetapkan sendiri tahap pembatalan hingar yang diinginkan.

REKAAN DAN PENGGUNAAN

Elite 10 turut kekal menggunakan rekaan yang kecil dan kompak seakan Elite 8 Active. Ia amat ringan, kerana saya rasa seakan tiada apa-apa dimasukkan ke dalam telinga ketika menggunakannya. Ini memberikan keselesaan untuk penggunaan jangka masa panjang. Pada putik telinga, Jabra menggunakan EarGel iaitu silikon lembut mereka yang boleh memastikan tiada audio bocor sewaktu mendengar muzik.Jangan keliru.

Putik EarGel ini tidak dimasukkan ke dalam lubang telinga sebaliknya berada di luar lubang telinga dan sekadar berfungsi seperti corong audio. Inilah yang sama maksudkan Elite 10 bukan sebuah TWS dalam-telinga.

Kemasan pod pengecas adalah jenis kusam, sementara pada setiap fon telinga seakan bergetah untuk cengkaman tambahan agar ia tidak terkeluar ketika sedang bersukan. Walaupun tiada teknologi ShakeGrip, saya tidak mengalami masalah fon telinga tertanggal. Penggunaan jangka masa panjang turut tidak menyebabkan telinga rasa gatal, berpeluh atau rasa melemaskan.

Masalah utama saya adalah pod pengecas yang tiada butang tambatan kerana semua terbina pada fon telinga. Ini menyebabkan Google Fast Pair atau Microsoft Swift Pair hanya boleh mengesan TWS selepas ia dikeluarkan tidak seperti TWS lain buka sahaja penutup akan terus bersambung kepada peranti.

KUALITI AUDIO

Kebiasaannya, aksesori audio dengan rekaan EarPod tidak mempunyai kualiti yang baik. Lebih-lebih lagi dalam kemampuan pembatalan hingar. Elite 10 memberikan pengalaman penggunaan seakan TWS jenis dalam-telinga yang terbaik pernah saya gunakan.

Secara keseluruhan, bass yang dihasilkan adalah cukup dalam dengan dentuman yang memuaskan. Ia memberikan kejelasan kepada setiap instrumen yang memberikan pengalaman mengasyikkan. Tetapi getaran bass tidak cukup baik dan ini menyebabkan sedikit kekurangan pada vokal.

Vokal yang saya dengar rasa sangat selesa dan menyenangkan telinga. Lagu-lagu kegemaran saya seperti Foolish One oleh Taylor Swift, Vampire oleh Olivia Rodrigo atau PS5 oleh Salem Ilese sangat jelas dan lembut. Suara penyanyi lelaki walau bagaimanapun seperti pada lagu Bad Habits oleh Ed Sheeran atau Destination oleh Crash Adams akan kedengaran sedikit dalam seolah memaksa penggunaan suara perut. Bergantung kepada mood, pada saya kadangkala ia sedap didengari tetapi sesetengah orang mungkin tidak menyukainya.

Jabra Elite 10 turut mengambil langkah selamat dalam penyampaian audio bernada tinggi. Ia tidak cukup nyaring, tetapi masih sedap dan sangat selesa. Cuma ia tidak cukup menyerlah untuk muzik akustik. TWS ini mempunyai pementasan audio yang luas, tetapi terlampau ke arah buatan berbanding natural. Apa-apa pun, Jabra Elite 10 adalah TWS yang seronok untuk digunakan dan sangat selesa. Ia adalah set fon telinga nirwayar sebenar yang sesuai untuk semua orang.

Kualiti Jabra Advance ANC juga sangat bagus sehinggakan apabila digunakan dalam kapal terbang saya boleh tidur lena dan tidak sedar ditegur pramugari untuk makan. Ini adalah kali pertama saya menikmati ANC baik untuk rekaan TWS seperti ini. Kesan tekanan seakan disedut vakum turut tidak dirasai, berbeza dengan Sony WF-1000XM5. Saya benar-benar berada di dunia saya sendiri tanpa sebarang gangguan.

Sokongan HearThrough sekali lagi pada hemat saya adalah antara mod tembus bunyi terbaik di pasaran kerana boleh mendengar perbualan orang di sekeliling tanpa ada gangguan bunyi statik.

Tidak dinafikan yang codec AAC dan SBC masih lagi baik untuk penggunaan biasa. Tetapi aya amat merindui codec yang membenarkan audio nirhilang seperti yang ditawarkan pada OnePlus Buds Pro 2, Nothing Ear (2) atau Sony WF-1000XM5. Ini bermakna dengan Elite 10 saya tidak dapat memanfaatkan langganan Apple Music, sebaliknya hanya bergantung kepada Spotify dan YouTube Music sahaja.

Spatial Sound by Dolby pada Elite 10 tidak begitu menarik kerana mengurangkan kualiti audio, Ini berbeza dengan Elite 8 Active yang memberi kualiti lebih baik. Walau bagaimanapun, sokongan penjejakan kepala dengan teknologi spatial Dolby adalah antara yang terbaik pernah saya cuba untuk produk audio bukan Apple. Ia memberi pengalaman pendengaran podsiar atau konsert seakan berada di lokasi sebenar.

APLIKASI DAN KAWALAN

TWS ini turut boleh dikawal sepenuhnya dengan butang fizikal terbina pada setiap fon telinga selain menggunakan aplikasi Jabra Sound+ yang membenarkan pengguna mengubahsuai fungsi pada setiap butang. Butang yang lembut dan sedap ditekan turut tidak menyebabkan fon telinga terjolok lagi ke dalam telinga.

Walaupun saya tidak menggemari butang fizikal kerana menyebabkan Fast Pair tidak berfungsi dengan baik. Saya masih menghargainya kerana untuk pengguna yang tangan cepat berpeluh, butang fizikal adalah penyelamat.

Aplikasi Sound+ ini mudah digunakan dan sangat ringkas seperti ada equaliser yang mudah untuk difahami dan dikawal. Antaramuka mesra pengguna seperti paparan cards untuk ANC, spatial Dolby, serta turut menyokong penjejakan TWS jika hilang. Pada hemat saya, Elite 10 lebih menyasarkan pengguna biasa berbanding bukannya profesional kerana boleh terus menikmati audio mantap sebaik dikeluarkan dari kotak.

BATERI

Saya rasa sejak tahun 2019 lagi saya telah menggunakan produk audio Jabra dan sehingga hari ini ketahanan bateri jarang mengecewakan. Elite 10 walaupun hadir dengan saiz yang kompak ketahanan bateri adalah sangat lama. Dengan ANC saya boleh sahkan dakwaan Jabra yang boleh mencapai sehingga 14 jam itu benar.

Saya tidak pernah menggunakan TWS tanpa ANC kerana ia adalah mod pendengaran terbaik. Sokongan pengecasan pantas pula memberikan ketahanan sehingga 1 jam selepas dicas selama 5 minit. Pengecasan nirwayar turut masih ada yang mana pada saya cukup baik dan membantu.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Jabra Elite 10
  • 1x 2 pasang putik telinga tambahan.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.

KESIMPULAN

Untuk saya yang bertahun lamanya menggemari TWS jenis dalam telinga kerana mempercayai hanya jenis seperti ini yang mampu memberikan audio dan ANC terbaik, Elite 10 telah membuatkan saya kembali ingin memberi TWS jenis separa dalam telinga peluang kedua. Buat pertama kali peminat fon telinga rekaan EarPod seperti ini menyokong ciri dan fungsi fon telinga mercu.

Dengan audio sedap, bateri yang tahan lama, selesa di dalam telinga, bersaiz kecil dan ada penjejakan kepala – Jabra Elite 10 menawarkan pakej lengkap yang menarik perhatian. Jika anda tanya saya, RM1299 adalah mahal untuk TWS ini. Tetapi ia berbaloi kerana tidak banyak TWS seperti ini ditawarkan dan Jabra turut memberi jaminan dua tahun dengan penukaran ke unit baharu tanpa caj tambahan.

PRO Dan KELEBIHAN

  • Ciri Spatial Sound by Dolby satu bonus yang menarik.
  • ANC walaupun tidak boleh dikawal ia adalah antara yang terbaik.
  • Selesa di dalam telinga untuk penggunaan jangka masa panjang.
  • Tidak banyak jenis separa dalam telinga sehebat ini.
  • Ada pengecasan nirwayar dan pengecasan pantas.
  • Bateri tahan lama.

KONTRA Dan KEKURANGAN

  • Tiada sokongan kalis air IP68 seperti Elite 8 Active yang lebih murah.
  • Codec terhad kepada AAC dan SBC, tiada LHDC atau LDAC untuk audio nirhilang.
  • Sokongan Fast Pair hanya berfungsi selepas fon telinga dikeluarkan.
  • Harga jualan yang agak mahal berbanding pesaing.

*Ulasan ini dijayakan oleh Li Jin Soh dengan teks tambahan Fahim Zahar

Komen