Cari @ Amanz

Cip apakah yang paling berkuasa dan stabil pada peranti Android sekarang? Jika jawapan anda ialah Qualcomm Snadragon 8 Gen 3 anda memang tak culas mengikuti perkembangan teknologi semasa. Sejak lima tahun kebelakangan ini, jenama “Snapdragon” adalah sinonim dengan prestasi yang tinggi tanpa sebarang isu yang menyebabkan penggunaan peranti bermasalah.

Nama Snapdragon cukup kuat sekarang sehingga ia menjadi antara persoalan utama apabila sesebuah peranti baharu dilancarkan. Contoh terbaik apabila Galaxy S24 dan Galaxy S24+ dilancarkan beberapa minggu lalu, agak ramai yang kecewa kerana ia tidak dilengkapi cip Snapdragon.

Kekuatan cip mereka bukan sahaja terletak pada prestasi CPU dan GPU. Antara ciri penting lain di kalangan pengguna ialah sama ada bateri bertahan lama dan sama ada wujud masalah pemanasan apabila digunakan. Exynos boleh mencapai tahap prestasi yang sama tetapi pada suhu lebih tinggi. Begitu juga Dimensity tetapi mereka mengorbankan pula tahap ketahanan bateri.

“Ketuanan” Snapdragon dalam tahun Naga 2024 tidak sekadar terhad pada telefon pintar. Tahun ini set-set kepala VR/XR yang akan dilancarkan majoritinya akan menggunakan cip keluarga Snapdragon XR. Cip Snapdragon XR2+ Gen 2 yang dilancarkan sebulan lalu telah disahkan akan digunakan pada set kepala Samsung yang dibangunkan secara kerjasama dengan Qualcomm dan Google. Ia adalah penambahbaikan kepada Snapdragon XR2 Gen 2 yang kini digunakan pada Meta Quest 3.

Bagi mereka yang tidak memerlukan set kepala yang mahal (serta berat), cermin mata pintar menggunakan siri cip Snapdragon AR1 Gen 1. Ray-Ban Meta adalah contoh terbaik bagaimana cermin mata pintar dengan cip Snapdragon AR adalah aksesori yang berguna dan lebih penting sekali tidak membuatkan anda nampak bodoh seperti pemilik Apple Vision Pro yang menggunakan kepala mereka ketika memandu, menunggang motosikal dan berjalan di khalayak ramai.

Tetapi pada hemat saya produk yang paling dinantikan ialah Snapdragon X Elite yang akan mula digunakan di PC pada separuh kedua tahun ini. Ia adalah jawapan kepada Apple Silicon yang sudah lama dinantikan. Selepas cip Snapdragon CX gagal merealisasikan impian mewujudkan komputer Windows ARM yang berkuasa, kemampuan Snapdragon X Elite yang saya lihat sendiri di Hawaii tahun lalu memberikan harapan baharu.

Windows on ARM memerlukan cip yang boleh memberikan persaingan kepada Apple Silicon. Walaupun saya pengguna MacBook dengan Apple Silicon, saya mahukan pengguna Windows 11 juga menerima pengalaman yang sama. Siapa yang tidak mahu komputer riba berkuasa untuk melakukan kerja berat dengan bateri yang boleh bertahan sepanjang hari? Persaingan adalah baik untuk semua.

2024 sudah hampir pasti akan menjadi tahun naga Snapdragon. Tahun 2025 pula ialah tahun ular. Kita memerlukan Snapdragon yang ganas tahun ini supaya Apple tidak akan terus mengular kekenyangan kerana sudah tiga tahun tidak dicabar secara agresif oleh pesaing. Selamat Tahun Baru Cina. Semoga kita semua “huat ah” dan mampu membeli peranti dengan cip-cip berkuasa tahun depan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd