Carian
Pengerusi Samsung Melakukan Lawatan Ke Malaysia Secara Rahsia
February 13, 2024 Effi Saharudin

Ketika kita sibuk menyambut Tahun Baru Cina, Pengerusi Samsung, Lee Jae-yong telah melakukan lawatan ke Malaysia secara rahsia. Lee tiba ke Malaysia pada Jumaat lalu bagi melawat kilang bateri Samsung SDI yang terletak di Seremban. Ini bertujuan melihat perkembangan kilang bateri yang menerima suntikan 1.7 trilion won (~RM.1 bilion) pada tahun 2022 dalam menghasilkan bateri baharu PRiMX 21700.

Selain itu menurut laporan Korea Herald, Lee melakukan pertemuan dengan kakitangan Samsung Electronics, Samsung C&T dan Samsung Engineering bagi menaikkan moral kerana pendapatan syarikat yang merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lawatan ke stor terbesar Samsung di Asia Tenggara juga dilakukan oleh beliau bagi melihat sambutan orang ramai terhadap produk terkini Samsung. Malaysia ialah antara pasaran telefon pintar terpenting Samsung di dunia.

Ini ialah lawatan pertama Lee ke luar Korea Selatan tahun ini, beberapa minggu selepas didapati tidak bersalah dalam kes melibatkan kes penyelewengan pembelian saham. Kehadiran beliau dilakukan secara rahsia kerana beliau tidak melakukan pertemuan dengan kepimpinan negara serta media tempatan, tidak seperti TM Roh tahun lalu.

Komen