Cari @ Amanz

HUAWEI nova Y72 Dengan Butang X Akan Dijual Pada Harga RM899

Link Copied!

Huawei masih aktif di Malaysia dengan kerap menawarkan pelbagai gajet baharu. Dari tablet, TWS berbentuk subang, jam tangan pintar premium, dan banyak lagi. Terbaru, HUAWEI nova Y72 telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Menariknya, telefon ini hadir dengan butang fizikal tambahan seumpama iPhone 15 Pro iaitu butang X.

nova Y72 hadir dengan skrin 6.75-inci LCD HD+, mungkin dijana Kirin 710A (Huawei tidak mendedahkannya secara rasmi) yang dipadankan dengan memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Di belakang peranti terdapat konfigurasi dwi-kamera 50+2 Megapixel, kamera swafoto 8 Megapixel, bateri 6000mAh dan pengecasan HUAWEI SuperCharge 22.5W.

Peranti ini masih menggunakan Bluetooth 5.1, terhad dengan 4G, tetapi ada satu ciri menjadikan peranti ini unik iaitu butang X. Ia adalah butang mengakses menu aplikasi kegemaran dengan pantas. Ia turut menyokong tekan sekali atau tekan dan tahan. Antara aplikasi yang digalakkan oleh Huawei adalah Grab atau Touch ‘n Go eWallet. Ini adalah iterasi Action Button iPhone 15 Pro pada telefon kelas asas.

HUAWEI nova Y72 adalah peranti kelas asas yang menarik dengan ciri unik tersendiri. Ia menjalankan sistem operasi EMUI 12. Buat masa ini masih tiada tarikh jualan lagi, tetapi Huawei Malaysia mengesahkan yang ia akan dijual pada harga RM899 dengan pilihan warna hitam atau hijau.


Komen ()