Cari @ Amanz

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) di medan perang ialah isu yang cukup sensitif. Project Maven oleh Amerika Syarikat misalnya dibangunkan oleh Amerika Syarikat bagi menggunakan AI bagi tujuan ketenteraan sehingga menyebabkan pekerja Google melakukan mogok. Menurut Bloomberg, AI yang dibangunkan di bawah Project Maven telahpun digunakan untuk melakukan misi pengeboman di Timur Tengah.

Bloomberg memetik Schuyler Moore, CTO Markas Pemerintahan Tengah Amerika Syarikat yang mengatakan algoritma penglihatan komputer telah digunakan untuk mengenal pasti 85 sasaran untuk di bom di Iraq, Syria dan Yemen pada bulan ini. Salah satu cabang Project Maven ialah kemampuan menganalisa gambar yang diambil di medan perang dan kemudian mengenal pasti lokasi musuh. Ini kali pertama Amerika mengesahkan AI telah digunakan dalam proses mengenalpasti sasaran mereka.

Ia walau bagaimanapun bukan kali pertama teknologi AI digunakan di medan perang. Israel mengesahkan teknologi The Gospel mereka yang telah digunakan untuk mengebom lebih 200 lokasi musuh dalam konflik Israel-Palestin yang masih berterusan sekarang.

DAPRA dan Pentagon juga telah melakukan ujian penggunaan AI generatif untuk menganalisa medan perang secara masa nyata. Mereka mendapati AI boleh melalukan analisa yang sebelum ini memakan masa beberapa jam dalam masa hanya 10 minit. Kesemua ini adalah di bawah payung Army Futures Command (AFC).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd