Carian
Amerika Menyiasat Risiko Keselamatan Yang Dibawa Oleh Kereta Elektrik China
March 1, 2024 Effi Saharudin

Elon Musk pernah berkata syarikat kereta elektrik (EV) China akan memusnahkan syarikat kereta negara lain sekiranya sekatan tidak dikenakan. Pada ketika ini BYD telah berjaya memintas Tesla sebagai syarikat yang paling banyak menjual EV di dunia. Semalam Rumah Putih mengumumkan Amerika akan memulakan siasatan risiko sekuriti yang dibawa oleh EV buatan China.

Dengan pelbagai sensor dan kamera, Amerika risau setiap EV dari China mempunyai kemampuan untuk mengintip bagi pihak CCP sekaligus mendatang risiko kepada keselamatan negara dan privasi penduduk. Ini ialah alasan yang sama digunakan oleh Amerika untuk mengharamkan kelengkapan telekomunikasi Huawei dan ZTE serta menghalang anggota tentera daripada memiliki dron keluaran DJI beberapa tahun yang lalu.

Dari pandangan luar, ini boleh dilihat sebagai satu lagi langkah yang diambil oleh Amerika bagi memastikan China tidak akan menjadi pencabar mereka dalam dunia teknologi. Huawei hanya mula dimasukkan ke senarai entiti hampir lima tahun lalu selepas ia hampir menjadi pengeluar telefon pintar terbesar dunia.

Pada waktu yang sama paranoia EV digunakan untuk tujuan pengintipan boleh dijejak asal usulnya dari China. Tular di media sosial dua tahun lalu apabila kereta Tesla diharamkan memasuki kawasan bandar yang akan dilawati oleh Presiden Xi Jin Ping atas sebab keselamatan.

Yang pasti kita sedang melihat sebuah lagi medan pertempuran perang perdagangan Amerika-China akan dibuka selepas ia melibatkan telefon pintar, kelengkapan telekomunikasi, sumber asli dan cip kecerdasan buatan.

Komen