Sudah bertahun lamanya Apple berhasrat untuk membawa sokongan alat pendengaran pada TWS mereka, AirPods. Asalnya adalah satu ciri perisian melalui iOS 15, kemudian model baharu yang turut boleh mengesan suhu dan postur. Tetapi semua ini tidak berlaku. Tahun lepas, sekali lagi kedengaran yang Apple masih serius ingin menjadikan AirPods sebagai salah satu gajet untuk kesihatan pengguna. Terkini, mod alat bantuan kedengaran akan diberikan kepada AirPods Pro melalui iOS 18.

Umum sedia maklum yang AirPods Pro menyokong mod tembus bunyi yang cukup bagus. Ciri ini dikembangkan kepada banyak mod berbeza seperti Live Listen atau Conversation Boost yang boleh meningkatkan kualiti perbualan masa nyata. Dengan FDA (KKM di AS) telah memperkenalkan piawaian untuk alat bantuan pendengaran terus di kedai tanpa bantuan pakar, Apple mungkin ingin meningkatkan jualan AirPods dengan memasarkan TWS ini sebagai gajet kesihatan.