Carian
RUU Mengharamkan TikTok Diluluskan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat
March 14, 2024 Effi Saharudin

Dewan Perwakilan Amerika Syarikat semalam sebulat suara meluluskan rang undang-undang yang akan memaksa Bytedance menjual TikTok sekiranya ingin terus beroperasi di negara mereka. Ia menerima undian 352-65 dan kini perlu melepasi Senat pula sebelum ditandatangani oleh Presiden Biden untuk berkuatkuasa.

Jika ini berlaku, TikTok perlu dijual kepada entiti milik Amerika Syarikat dalam masa enam bulan. TikTok telahpun mengeluarkan kenyataan mereka akan menentang RUU yang dilihat tidak berasas. Sebelum ini pengharaman TikTok di Montana ditolak oleh mahkamah kerana didapati melanggar kebebasan bersuara yang termaktub dalam perlembagaan Amerika Syarikat.

TikTok

Presiden Biden sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan menyokong sebarang RUU mengharamkan Tiktok yang melepasi Senat. Alasan yang diberikan Amerika ialah TikTok memberikan China akses data 170 juta pengguna di Amerika yang dilihat sebagai satu langkah risikan. Sehingga kini Amerika masih gagal membuktikan ini pernah berlalu lebih-lebih lagi selepas kesemua data pengguna Amerika dipindahkan ke pelayar milik Oracle di dalam negara.

Perang perdagangan antara Amerika Syarikat semakin hangat sekiranya Bytedance dipaksa menjual TikTok. Selain itu Amerika turut memulakan siasatan ke atas kereta buatan China di Amerika yang turut dipercayai membawakan risiko keselamatan negara.

Komen