Apple Vision Pro adalah set kepala realiti gabungan paling canggih pernah dijual kepada umum setakat ini. Set kepala ini menjalankan sistem operasi visionOS dan Apple memasarkan produk ini sebagai komputer spatial dan bukannya untuk AR/VR. Sejak dilancarkan terdapat 600 aplikasi dibangunkan khusus untuk Vision Pro yang berharga belasan ribu ringgit ini.

Baru-baru ini, anda telah boleh melihat kesemua aplikasi yang boleh digunakan pada Apple Vision Pro melalui laman web App Store. Ia lengkap dengan senarai aplikasi baharu, aplikasi pilihan Apple, melihat tangkapan layar aplikasi, mencari mengikut kategori dan banyak lagi. Memandangkan Vision Pro masih terhad di Amerika Syarikat, jadi semua aplikasi yang tersenarai adalah untuk akses negara tersebut sahaja.

Pengenalan laman web App Store untuk Vision Pro ini memudahkan pengguna untuk mendapatkan kemas kini terkini mengenai aplikasi baharu atau juga untuk mereka yang mempertimbangkan untuk membeli Vision Pro tetapi ingin lihat apakah aplikasi yang boleh dimanfaatkan. Kelak selepas Vision Pro dijual ke lebih banyak negara, jumlah aplikasi mungkin akan semakin berkurangan.