Empat dekad yang lalu, pesakit HIV dianggap hanya menanti masa untuk maut. Tetapi perkembangan teknologi perubatan semasa membolehkan pesakit hidup secara normal dan melakukan hubungan kelamin tanpa ia dipindahkan kepada pasangan atau anak dalam kandungan. Saintis daripada University of Amsterdam kini mengumumkan kejayaan memotong pula HIV daripada sel yang dijangkiti.
Teknik suntingan CRISPR telah digunakan untuk membuang virus HIV daripada sel pesakit. Secara teorinya teknik potongan ini boleh digunakan untuk merawat penyakit ini sepenuhnya di masa hadapan. Sungguhpun begitu penyelidik mengatakan pada waktu ini teknik rawatan ini masih di peringkat konsep yang masih belum boleh dilakukan di dunia sebenar.

Teknik rawatan anti retroviron sekarang sekadar mengurangkan jumlah virus dalam tubuh membolehkan pesakit hidup normal dengan virus hampir tidak dikesan dalam tubuh tetapi tidak memulihkan mereka sepenuhnya. Satu-satunya teknik rawatan yang berjaya memulihkan pesakit HIV sepenuhnya sebelum ini ialah menggunakan sel tunjang yang menelan belanja yang amat tinggi.
Penggunaan CRISPR untuk merawat HIV kali pertama kami laporkan pada tahun 2019 apabila ujian berjaya dilakukan pada tikus makmal. Sementara itu di China seorang bayi telah dilahirkan dengan kemampuan imun HIV juga menerusi suntingan CRISPR. Tetapi eksperimen ini dikecam dunia sains kerana kita masih belum mengetahui sepenuhnya kesan jangka panjang suntingan gen ke atas tubuh manusia.