Kerajaan Malaysia bersedia untuk menapis kandungan yang ditawarkan di platform-platform penstriman. Ini adalah jawapan yang diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada soalan yang diberikan oleh ahli perlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menggesa kerajaan menapis “kandungan tidak sesuai” di Netflix.
Pada ketika ini Lembaga Penapisan Filem tidak mempunyai kuasa menyekat kandungan yang ditawarkan oleh perkhidmatan penstriman OTT. Sebaliknya bidang kuasa jatuh di bawah Kementerian Komunikasi yang mempunyai tanggungjawab mengawal kandungan yang ditawarkan di atas talian. Oleh itu Saifuddin berkata beliau bersedia berbincang dengan KKOM untuk mengembangkan bidang kuasa LPF dalam hal ini.

Pada tahun 2019, FINAS meminta kerajaan memainkan peranan sebagai “abang besar” yang menapis apa yang boleh ditonton oleh penduduk di Malaysia. Kerajaan pada waktu itu berkata terdapat pelbagai ciri saringan kandungan yang telahpun diberikan oleh platform seperti Netflix, Astro Go, HBO Go, Prime Video dan banyak lagi kepada pelanggan yang ingin menapis kandungan yang dirasakan tidak sesuai untuk mereka.
Bagi golongan ibu bapa yang khuatir dengan kandungan yang dirasakan tidak serasi, kami sudahpun menulis dua tutorial bagaimana kandungan ini boleh dihalang menerusi pautan di bawah.