Carian
Ulasan Ugreen Nexode RG – Comel Sampai Tersenyum Lepas Cas
April 12, 2024 Fahim Zahar

Sebelum saya bekerja di Amanz, saya telah pun menggunakan pelbagai jenis aksesori keluaran Ugreen. Kemudian selepas kerap menggunakan aksesori yang dikeluarkan oleh pengeluar telefon, saya terus lupa akan kewujudan Ugreen sehinggalah saya menerima 100W GaN Fast Charger mereka dua tahun lalu. Sehingga hari ini saya telah menjadi pengguna setia Ugreen. Terbaru, Nexode RG telah dilancarkan sebagai pengecas GaN berbentuk robot yang menggunakan skrin sebagai wajah.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Nexode RG adalah pengecas pantas GaN dengan teknologi Power Delivery PPS. Pengecas ini menggunakan kuasa 65W yang boleh membahagikan tenaga dengan port lain seperti 45W + 20W, 45W + 7.5W + 7.5W dan banyak lagi. Thermal Guard Tech digunakan untuk membaca lebih 238 bacaan suhu, sensor suhu pula sentiasa aktif dan Bold GanFast digunakan untuk tenaga efisien sehingga 95%.

Rekaan pengecas ini adalah seakan sebuah robot yang comel dengan kaki/seluar magnetik yang boleh ditanggalkan. Berat pengecas ini adalah sekitar 226.8 gram, ia mempunyai skrin LED untuk mata dan mulut yang boleh bertukar mengikut status pengecasan dan mempunyai tiga port iaitu 2x USB-C + 1x USB-A. Kuasa pengecasan jika menggunakan salah satu port atau lebih adalah seperti berikut;

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Pengalaman menggunakan pengecas ini adalah sangat menarik. Ia mengingatkan saya kepada Shargeek Retro 35W GaN Charger yang lebih mahal tetapi terhad kepada 35W. Ugreen Nexode RG 65W ini dijual pada harga lebih murah dan lebih berkuasa. Ya, ia tiada skrin berwarna tetapi mata dan mulut yang berubah mengikut status pengecasan sudah cukup interaktif dan rasa comel pada saya.

Menggunakan pengecas ini adalah lebih kurang menggunakan Ugreen 100W GaN Fast Charger kerana setiap port ada kuasanya sendiri dan setiap penggunaan dua atau tiga port ada padanan kuasa berbeza. Misalnya jika saya menggunakan satu port USB-C, ia boleh mengecas MacBook Air M2 dari 0% ke 55% dalam masa 30 minit, Nintendo Switch OG tiada masalah untuk dicas dari 0% sehingga 100% dalam masa 3 jam seperti pengecas asli dan Infinix Note 40 Pro 5G turut boleh dicas pada kadar 45W sama dengan pengecas dalam kotak.

Pengecas juga tidak memanas sepanjang penggunaan. Apa yang saya suka adalah Ugreen menawarkan dua warna iaitu hitam atau ungu yang sesuai untuk lelaki atau perempuan. Satu keluhan saya adalah harga jualan. Walaupun ia lebih murah berbanding Shargeek, pengecas GaN 65W berharga RM159 adalah agak mahal, lagi-lagi kalau hanya RM51 lagi untuk mendapatkan Ugreen 100W GaN Fast Charger. Jika anda rasakan RM51 tambahan untuk skrin itu penting berbanding mendapatkan pengecas lebih berkuasa, tiada yang menghalang untuk anda mendapatkannya.

APA ADA DALAM KOTAK?

Ini adalah apa yang anda dapat dalam kotak Ugreen Nexode RG;

  • 1x Pengecas Nexode RG 65W
  • 1x Penutup magnetik berbentuk kaki robot.
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan.

KESIMPULAN

Selepas hampir sebulan menggunakan pengecas ini, saya boleh katakan Ugreen sekali lagi tidak mengecewakan. Ia jelas sekali adalah produk pengecasan yang berkualiti dan mengikut piawaian yang sepatutnya. Cuma rekaan robot seperti ini bukanlah untuk semua orang, lagi-lagi apabila harga jualan yang sudah menghampiri dengan pengecas lain yang lebih berkuasa.

Tetapi jika anda ingin memeriahkan lagi meja kerja, ingin kurangkan rasa tekanan bekerja dengan melihat robot yang senyum selepas peranti anda dicas, ini Nexode RG 65W adalah untuk anda. Ugreen turut ada menawarkan variasi 30W yang berharga sekitar RM79.90.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Rekaan yang unik dan comel.
  • Ada skrin yang memberi status pengecasan.
  • Mudah di bawa ke mana sahaja.
  • Kuasa pengecasan yang pantas dan efisien untuk pengecasan banyak peranti.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Harga yang agak mahal.
  • Rekaan berbeza mengikut negara.
  • Skrin terhad kepada satu warna.
  • Harga agak mahal untuk pengecas GaN 65W.

Beli Di Shopee: UGREEN Nexode RobotGaN 65W

Khusus untuk pembaca Amanz, gunakan kod UGREAMZ untuk mendapatkan UGREEN Nexode RG pada harga RM109 (potongan sebanyak RM25). Sempena promosi pelancaran, UGREEN menyatakan jika kod telah habis digunakan Nexode RG masih boleh dibeli pada harga RM138.

Komen