Carian
Menteri Ingatkan Ibu Bapa Anak Bawah 13 Tahun Tidak Harus Miliki Akaun Media Sosial
April 22, 2024 Effi Saharudin

Kajian yang telah dilakukan oleh Oxord University dan Persatuan Psikologi Amerika tidak menemukan sebarang kaitan antara penggunaan media sosial dengan peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan penggunanya. Tetapi stigma media sosial membawa impak negatif masih kekal khususnya di kalang pengguna bawah umur. Menteri Kementerian Komunikasi Fahmi Fadzil pada hujung minggu lalu mengingatkan ibu bapa bahawa kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial.

Beliau berkata ini kerana SKMM mendapati bahawa kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan banyak lagi. Majoriti platform media sosial juga tidak membenarkan golongan bawah umur membuka akaun mengikut terma dan syarat perkhidmatan.

Fahmi turut menambah ibu bapa boleh melaporkan akaun media sosial anak bawah umur kepada SKMM untuk di dimatikan. Pihak KKM telahpun mengadakan siri pertemuan dengan pihak seperti Meta dan Telegram untuk mengemukakan perancangan mereka bagi menangani isu pemilikan akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun.

Impak jangka panjang penggunaan media sosial masih belum diketahui kerana ia hanya wujud sekitar 20 tahun. Antara kerisauan ibu bapa ialah media sosial digunakan oleh golongan pedofilia untuk melakukan aktiviti antun seksual ke atas kanak-kanak. Malaysia adalah negara yang didapati mengakses kandungan lucah bawah umur yang tertinggi di Asia Tenggara menurut PDRM dalam laporan pada tahun 2018 dan ia masih lagi sebuah isu yang serius sehingga hari ini.

Komen