Carian
LG
LG Menghentikan Pengeluaran TV Boleh-Gulung Mereka
May 17, 2024 Fahim Zahar

LG Signature OLED R adalah televisyen skrin OLED yang boleh gulung. Ia kali pertama diperlihatkan pada tahun 2018 dan mula dijual kepada umum pada tahun 2021 dengan tanda harga lebih RM400,000. Terbaru Flatpanelshd melaporkan yang LG akan berhenti mengeluarkan televisyen seperti ini.

Konsep televisyen ini menarik kerana ia menyasarkan pengguna yang inginkan ruang tamu atau ruang di dalam bilik yang minimalis. Setiap kali selepas selesai menonton televisyen, skrin boleh disimpan menjadi satu blok seakan perabot unik. Sumber menyatakan LG sudah berhenti mengeluarkan televisyen ini sejak tahun lepas kerana tidak berjaya mengurangkan kos pengeluaran. LG turut telah menarik kembali set demo di kedai-kedai mereka.

Walaupun begitu, LG dilaporkan masih ingin meneruskan pembangunan dan pengeluaran televisyen dengan skrin aneh. Antara yang diperlihatkan tahun ini adalah LG Siganture OLED T iaitu televisyen dengan skrin lutsinar seperti Mi TV LUX OLED empat tahun lalu.

Komen