Semalam Microsoft mengumumkan Copilot+ PC yang merupakan kategori baharu PC dengan kemampuan AI terbina dan sekaligus menguburkan kategori AI PC yang baru berusia beberapa bulan. Kelebihan Copilot+ PC ialah ia mampu memproses fungsi AI pada peranti seperti Recall yang mengingati semua kegiatan pemilik dalam tempoh tiga bulan.

Ramai tertanya-tanya apakah model AI yang digunakan bagi membolehkan kemampuan ini dijalankan terus pada sebuah Copilot+ PC. Jawapannya ialah model baharu Phi-Silica dengan 3.3 bilion parameter. Ini menjadikannya lebih kecil berbanding Phi-3 Mini untuk telefon pintar dengan 3.8 bilion parameter yang diumumkan pada bulan April lalu.
Kesemua ciri AI yang diproses NPU Copilot+ PC akan menggunakan mode Phi-Silica. Dengan saiznya yang kecil, ia mampu menjalankan proses inferens dengan pantas serta pada kuasa yang rendah sekaligus tidak menjejaskan bateri sebuah komputer riba.
Phi-Silica dikategorikan sebagai Model Bahasa Kecil (SLM) dan adalah yang terkecil dalam keluarga Phi. Selain Phi-Silica dan Phi-3 Mini, terdapat juga Phi-3-Vision dengan 4.2 bilion parameter, Phi-3-Small mempunyai 7 bilion parameter, dan Phi-3-Medium dengan 14 bilion parameter.