Carian
Ini Cara Mengelak Facebook Menggunakan Kandungan Anda Untuk Melatih AI
May 28, 2024 Fahim Zahar

AI, AI, AI. Penggunaan teknologi ini semakin berleluasa. Walaupun ia menarik tetapi pada masa yang sama, ada keburukannya. Keburukan ini adalah syarikat teknologi menggunakan data pengguna untuk melatih AI, seperti Grok, Google dan ChatGPT. Terbaru, Facebook juga akan melatih Meta AI mereka dengan kandungan yang dikongsi pengguna pada platform mereka.

Bermula minggu ini, pengguna mula menerima notifikasi daripada Meta di Facebook mengenai kemas kini polisi pengguna. Jika anda tidak ingin Meta menggunakan kandungan yang anda telah kongsi di Facebook, ini caranya;

  • Pertama – Lihat notifikasi “We’re planning new AI features for you. Learn how we use your information“. Jika tiada anda boleh lawati laman web facebook.com/privacy/genai.
  • Kedua – Baca dengan teliti dan fokus pada perenggan ketiga terakhir “… Anda mempunyai hak yang berkaitan dengan cara maklumat anda digunakan untuk AI di Meta. Ketahui lebih lanjut dan serahkan permintaan di sini.
  • Ketiga – Tekan pautan yang jelas terpapar, anda akan di bawa ke borang “AI at Meta Data Subject Rights“.
  • Keempat – Tekan pilihan ketiga “I want to delete any personal information from third parties used for building and improving AI at Meta.”.
  • Kelima – Anda kemudian wajib memberi sebab kepada Meta kenapa anda tidak ingin data anda digunakan untuk melatih model AI.
  • Keenam – Anda turut diwajibkan menyertakan tangkapan layar membuktikan data anda telah digunakan untuk melatih AI seperti jawapan Meta AI yang mendedahkan data peribadi anda. (Saya berikan pautan ke polisi pengguna dengan maklum balas, saya risau data saya digunakan kerana telah menerima notifikasi ini.)
  • Ketujuh – Tunggu emel daripada Meta dan terus berharap anda akan menerima maklum balas serta pengesahan yang mereka tidak akan menggunakan data anda untuk melatih model AI.

Setakat ini Meta AI hanya boleh digunakan di negara Australia, Kanada, Ghana, Jamaica, Malawi, New Zealand, Nigeria, Pakistan, Singapura, Afrika Selatan, Uganda, Zambia, dan Zimbabwe. Perkhidmatan kecerdasan buatan generatif ini masih tidak boleh digunakan di Malaysia, tetapi tidak salah untuk melakukan persediaan awal demi keselamatan data peribadi dan privasi kita sendiri.

Komen