Samsung Galaxy Z Fold adalah siri telefon skrin boleh-lipat yang terkenal. Ia juga dijual pada harga premium dan menjadi penanda aras untuk peranti pesaing. Sejak versi pertama sehingga Z Fold5, Samsung menggunakan rekaan skrin luar yang tirus dan memanjang. Akan datang pada Z Fold6 mereka akan menggunakan rekaan skrin luar yang lebih lebar.

Imej tertiris mendedahkan skrin luar yang rata dengan bezel juga sekata. Setiap bucu dilihat lebih tajam dan saiz peranti juga kelihatan sedikit lebih pendek. Z Fold6 turut akan menggunakan rekaan lebih segi empat pada keseluruhan tubuh. Ia juga akan masih mirip dengan Z Fold5 cuma lebih kemas dan kelihatan lebih seksi.
Samsung dilaporkan akan menawarkan tiga model Z Fold6 iaitu yang mampu milik, yang biasa dan juga model Ultra yang lebih premium mungkin dengan S-Pen terbina. Siri Z Fold6 dijangka dilancarkan pada bulan Julai nanti bersama-sama dengan Galaxy Watch7, sama-sama kita nantikan.