Carian
Airbus Perlihatkan Dron Pengiring Pesawat Pejuang Wingman
June 4, 2024 Effi Saharudin

Setiap juruterbang pesawat pejuang memerlukan seorang “wingman” ialah sebuah lagi pesawat pengiring yang mengawasinya ketika melakukan misi. Taktik menggunakan pesawat pengiring ini sudah wujud sejak 1915 apabila kapal terbang digunakan di medan tempur Perang Dunia Pertama. Selepas 109 tahun, pesawat pengiring yang diterbangkan manusia kini digantikan pula dengan dron swaterbang.

Di International Aerospace Exhibition ILA yang berlangsung di Berlin minggu ini, Airbus memperlihatkan konsep dron pengiring Wingman. Dron swaterbang ini direka untuk mengiring pesawat seperti Eurofighter Typhoon yang digunakan oleh tentera udara negara-negara Eropah.

Berdasarkan lukisan konsep, ia mempunyai rekaan yang sukar dikesan radar dan hadir dengan dua sayap canard di bahagian hadapan seperti Su-30 MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia. Ini memberikan petanda awal dron ini mampu melakukan aksi lincah ketika beroperasi. Pada bahagian dorsal juga dapat dilihat sistem mengisi minyak ketika masih di udara.

Seperti projek Loyal Wingman Australia dan Skyborg Amerika Syarikat, Wingman akan digunakan untuk melakukan misi yang berbahaya kepada juruterbang manusia. Airbus belum berkongsi apabila konfigurasi misi yang boleh dilakukan oleh Wingman. Tetapi jika Loyal Wingman dan Skyborg boleh dijadikan templat, Wingman mungkin boleh melakukan misi risikan maklumat, pemantauan kawasan operasi dan juga dilengkapi senjata.

Komen