Carian
UGREEN Mengembangkan Pengecas Siri Nexode Mereka Dengan Keluarga “Pro”
June 5, 2024 Fahim Zahar

UGREEN turut menghadirkan diri di Computex 2024. Hari ini mereka telah melancarkan Nexode S Series bagi mengembangkan lagi keluarga pengecas Nexode mereka. Terdapat empat pengecas baharu yang diperkenalkan kali ini.

Nexode Pro 65W Mini

Seperti biasa, UGREEN kekal menggunakan teknologi GaN. Cuma kali ini ia telah dinaiktaraf ke versi ketiga yang digelar sebagai GaNInfinity. Ia adalah pengecas 65W dengan tiga port iaitu 2x USB-C dan 1x USB-A. Ia juga menggunakan saiz tubuh yang 55% lebih kecil berbanding pengecas rasmi mana-mana laptop, konsol atau telefon. Harga jualan dikatakan adalah sekitar RM260 dan akan dijual pada sekitar tahun ini.

Nexode Pro 65W Ultra Slim

Jika anda rasa saiz mini itu sudah kecil tetapi masih tebal dan memakan ruang beg, UGREEN Nexode Pro 65W Ultra Slim adalah pilihan terbaik. Butiran spesifikasi masih tidak didedahkan kerana model ini masih di dalam pembangunan. Apa yang pasti, ia adalah lebih kurang sama dengan model tahun lepas dengan peningkatan pada kualiti pengecasan. Butiran harga dan tarikh jualan juga masih menjadi tanda tanya.

Nexode Pro 100W

Pengecas ini turut mempunyai spesifikasi sama dengan model Mini tetapi saiznya hanya 45% lebih kecil berbanding pengecas lain. Kelebihan pengecas ini adalah kuasa pengecasan 100W yang adaptif mengikut penggunaan. Misalnya, satu port 100W tetapi menggunakan dua port adalah 65W + 30W, 65W + 22.5W atau 18W+18W. Manakala penggunaan tiga port adalah 65W + 18W + 18W. Pengecas ini akan dijual pada harga sekitar RM350.

Nexode Pro 160W

Model terakhir adalah pengecas dengan kuasa 160W dengan 4 port yang menggabungkan 3x USB-C + 1x USB-A. Walaupun ada banyak port dan lebih berkuasa, UGREEN masih mampu memuatkan semua teknologi dalam saiz 21% berbanding pengecas rasmi Apple 140W. Konsep penggunaan yang sama dengan model 100W iaitu adaptif, seperti 4 port untuk 65W+65W+18W+18W, 3 port ada banyak antaranya adalah 65W+65W+30W atau 100W+18W+18W. Harga jualan dikatakan mungkin mencapai lebih RM500.

UGREEN Nexode S Series tidak dinafikan menggunakan nama yang mengelirukan kerana nama “S” langsung tidak digunakan pada setiap pengecas. Malah nombor SKU juga tiada huruf “S”. Walaupun begitu, UGREEN menjanjikan pengalaman penggunaan yang lebih baik dan premium. Di Amanz, banyak pengecas UGREEN telah dijadikan sebagai pengecas harian seperti Nexode RG, Nexode GaN 300W atau juga Nexode 100W. Sama-sama kita nantikan jualan UGREEN Nexode S Series di Malaysia.

Komen