Sistem operasi iPadOS 18 diumumkan awal pagi ini dan ia membawakan ciri-ciri kecerdasan buatan generatif yang sama seperti yang diberikan kepada iOS 18. Tetapi Apple Intelligence bukan satu-satunya penambahbaikan yang diberikan oleh Apple. Berikut ialah 10 ciri-ciri baharu yang kami rasakan menarik pada iPadOS 18.
1.Apple Intelligence

Samsung ada Galaxy AI dan Google pula menawarkan Gemin. Pada peranti Apple tahun ini Apple Intelligence ialah ciri setanding dengan kemampuan menjalankan kecerdasan buatan (AI) terus dari peranti. Dengan Apple Intelligence pelbagai kemampuan AI generatif akhirnya tiba pada peranti Apple. Kami akan menerangkannya dengan lebih lanjut di bawah. Tetapi harus dinyatakan bahawa Apple Intelligence hanya disokong pada peranti dengan cip Apple A17 Pro dan Apple M sahaja pada ketika ini.
2.Notes – Ringkasan Note Dengan Apple Intelligence

Anda mungkin pernah menulis ratusan nota dalam aplikasi Notes. Selepas beberapa ketika anda lupa apakah kandungan dalam nota tetapi anda tidak mempunyai masa untuk membacanya semula. Dengan AI, Notes boleh membaca kandungan nota-nota dalam aplikasi dan kemudian menghasilkan ringkasan untuk memudahkan anda mentelaah. Amat mirip dengan ciri yang ditawarkan oleh Notes Assist oleh Galaxy AI dan Google NotebookLM.
3.Notes – Transkrip Dihasilkan Menerusi Audio

Notes juga kini boleh menghasilkan transkrip daripada audio yang dirakam secara automatik. Transkrip kemudian boleh dianalisa oleh Apple Intelligence untuk menghasilkan ringkasan kandungan-kandung penting. Sebuah lagi ciri yang sama dengan Audio Transcribe yang disokong pada Android.
4.Notes – Smart Script

Masih lagi dalam Notes tetapi ini adalah ciri yang paling menarik pada hemat kami iaitu Smart Script. Notes mempelajari tulisan tangan yang dihasilkan menggunakan Apple Pencil. Ia kemudian boleh mengubah tulisan supaya nampak lebih konsisten dan seakan dicetak. Ciri membunuh ialah jika kesalahan ejaan dilakukan pada nota tulisan tangan, ia boleh disunting dengan hanya menekan perkataan yang salah dan kemudian Smart Script menggantikannya dengan tulisan tangan anda sendiri! Lupa satu rangkap ayat di dalam nota? Tak perlu risau kerana ia boleh dimasukkan ke dalam nota tulisan tangan semudah menaip.
5.Memperibadikan Antaramuka

Seperti pada iOS 18, iPadOS 18 akhirnya membenarkan pengguna memperibadikan antaramuka buat pertama kali. Kedudukan ikon aplikasi, saiz ikon aplikasi dan warna juga boleh diubah dengan tema tertentu. Selepas 18 iterasi sistem operasi, iPad kini akhirnya memberikan kemampuan yang selama ini hanya boleh dilakukan pada tablet Android.
6.Photos Lebih Bijak Dengan AI

Aplikasi Photos kini bijak memahami carian dengan konteks yang diberikan. Anda boleh memintas mencari gambar anak ketika hari jadi atau dengan baju dengan warna tertentu. Kemampuan menjana video pendek berdasarkan prom tertentu juga boleh dilakukan secara automatik tanpa campur tangan oleh pengguna. Bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk menyunting memori ketika bercuti, kemampuan Photos baharu ini akan menjimatkan masa. Imej yang tidak dikehendaki di dalam gambar pula boleh dipadam menggunakan Clean Up.
7.Image Playground / Genmoji / Image Wand

Apa guna terdapat AI pada peranti jika ciri menjana imej secara generatif tidak ditawarkan. Pada iPadOS 18 tiga ciri boleh digunakan iaitu Image Playground, Genmoji dan Image Wand. Image Playground menjana imej berdasarkan beberapa prom yang dimasukkan sendiri oleh pengguna. Mungkin anda ingin menghasilkan avatar baharu berdasarkan Memoji atau menghasilkan pemandangan di pandai. Ini semua boleh dilakukan oleh Image Playground. Seterusnya ialah Genmoji yang seakan Emoji Kitchen di Android. Emoji baharu boleh dijana sekiranya ia masih belum wujud pada sistem operasi. Akhir sekali ialah Image Wand yang mengubah lakaran dalam Notes menjadi lukisan yang dijana ini. Ini meletakkan setanding dengan Cocreate di Copilot+ PC.
8.Kawal iPad Dengan Mata

Ciri ketercapaian mengawal iPad dengan menjejak mata diumumkan oleh Apple beberapa minggu lalu. Ia akan diaktifkan menerusi iPadOS 18 kelak. Teknologi yang dipelajari menerusi Vision Pro dibawa kepada iPad dengan penjejakan dilakukan dengan bantuan kamera swafoto sahaja.
9.Control Center Baharu

Control Center kini mempunyai tab tambahan untuk kategori kawalan media, kawalan peranti internet bergabung, sambungan WiFi/Selular dan kegemaran pemilik. Dengan ini apa yang dimahukan pengguna boleh diakses dengan lebih pantas kerana Control Center pada waktu in mempunyai terlalu banyak ikon yang mungkin boleh menjadi agak mengelirukan.
10.Calculator

Akhirnya iPad mempunyai aplikasi mesin kira-kira yang bukan sahaja amat diperlukan tetapi hadir dengan ciri pintar yang sudah lama diminta. Pertama sekali terdapat ciri mesin kira-kira saintifik pada kedudukan landskap. Seterusnya dari dalam Notes, jawapan kepada soalan yang dilakar menggunakan Apple Pencil boleh dijawab secara automatik menggunakan mesin kira-kira terbina.
ipadOS 18 akan diberikan kepada semua iPad di bawah bermula musim luruh depan.
- iPad Pro (M4)
- iPad Pro 12.9″ (Gen 3)
- iPad Pro 12.9″ (Gen 4)
- iPad Pro 12.9″ (Gen 5
- iPad Pro 12.9″ (Gen 6)
- iPad Pro 11″ (Gen 1)
- iPad Pro 11″ (Gen 2)
- iPad Pro 11″ (Gen 3)
- iPad Pro 11″ (Gen 4)
- iPad Air (M2)
- iPad Air (Gen 3)
- iPad Air (Gen 4)
- iPad Air (Gen 5)
- iPad (Gen 7)
- iPad (Gen 8)
- iPad (Gen 9)
- iPad (Gen 10)
- iPad mini (Gen 5)
- iPad mini (Gen 6)