Carian
18 Ciri Menarik Pada iOS 18
June 11, 2024 Fahim Zahar

Awal pagi tadi Apple telah mengumumkan Apple Intelligence iaitu model bahasa raya kecerdasan buatan generatif mereka yang diintegrasikan ke seluruh sistem operasi termasuk iOS, iPadOS, tvOS dan macOS. Menariknya, model ini mementingkan privasi dan pada masa yang sama memberikan konteks mengikut seseorang pengguna. Anda telah baca apa yang menarik dengan iPadOS 18 dan tvOS 18, tetapi bagaimana dengan iOS 18?

1. Apple Intelligence – AI

Model bahasa raya kecerdasan buatan generatif Apple ini diintegrasikan terus ke dalam sistem-sistem operasi Apple. Ia juga menyokong pemprosesan terbina pada peranti dan boleh digunakan pada hampir kesemua aplikasi yang disokong oleh platform Apple. Apple juga tidak mengenakan sebarang bayaran tetapi penggunaannya terhad kepada peranti dengan cip Apple A17 Pro dan Apple M sahaja pada ketika ini.

2. Skrin Utama Yang Diperibadikan

Ya, peranti Android sudah bertahun lamanya menyokong kemampuan memperibadikan skrin utama. Dengan iOS 18 anda boleh mengubah saiz ikon aplikasi, menyusun aturan ikon di mana sahaja, dan ikon juga boleh menjadi gelap mengikut tema peranti selain widget yang menyokong perubahan saiz.

3. Control Center Baharu

Control Center pada iOS pada ketika ini kelihatan agak semak kerana terdapat terlalu banyak ikon dan tetapan. Kemas kini iOS 18 ini akan mempunyai pintasan pantas untuk mengawal peranti Home Kit, sambungan peranti, kawalan media dan tetapan-tetapan kegemaran. Empat ikon kecil untuk pintasan pantas ini disusun pada sini kanan apabila tirai Contorl Center ditarik ke bawah. Apple turut memperkenalkan Control Gallery untuk sokongan widget dan ikon akses pantas aplikasi pihak ketiga.

4. Aplikasi Boleh Dikunci Dengan Face ID

Beberapa peranti Android sudah lama menyokong ciri mengunci aplikasi dengan menggunakan imbasan biometri. Apple tidak mahu kekal ketinggalan dan kini memperkenalkan ciri yang sama yang memerlukan pula imbasan Face ID. Dengan ciri ini tiada lagi isu gambar dalam Photos diintip, mesej di WhatsApp terkantoi dan aplikasi permainan dimainkan oleh anak sehingga melakukan pembelian tanpa kebenaran.

5. Game Mode – iPhone Kini Telefon Gaming

Game Mode baharu boleh mengurangkan tugasan yang berjalan di latar bagi mengoptimasikan prestasi permua yang sedang dimainkan pada sebuah iPhone. Isu prestasi rendah dapat dielakkan khususnya apabila menjalankan permua seperti Resident Evil 4, Death Stranding dan kelak Assassin’s Creed Shadows.

6. Photos – Kini Dengan Sentuhan AI

Aplikasi Photos di iPhone kelak akan menjadi lebih pintar dengan anda boleh mencari foto atau video menggunakan konteks seperti “Hari jadi Ayah di Seremban”. Kemudian jika sebelum ini iOS memaparkan semua tangkapan layar, kelak ia boleh disorokkan. Imej dengan wajah turut boleh dikumpulkan mengikut individu, gambar kini lebih mudah dan selesa untuk dilihat dan ciri AI generatif Clean Up diperkenalkan untuk membuang objek atau perkara mengganggu dalam imej.

7. Safari – Meringkaskan Artikel

Dengan terdapat jutaan kandungan dan artikel yang di internet, kita tidak akan mempunyai masa untuk membaca kesemuanya. Kadangkala jadual yang sibuk membolehkan seseorang terlepas membaca sesuatu berita. Dengan kemas kini Safari, ciri Readers boleh merumuskan kandungan laman web yang panjang dan memberikan senarai kandungan untuk memudahkan ia diakses oleh pembaca.

8. Passwords – Menguruskan Kata Laluan Setempat

Terdapat beberapa perkhidmatan menguruskan kata laluan seperti Last Pass tetapi memerlukan langganan bulanan jika ingin digunakan secara rentas platform dan sistem operasi. Pada iOS 18, langganan ini boleh dikuburkan menerusi aplikasi Passwords yang dibangunkan sendiri oleh Apple. Ia boleh digunakan pada iPhone, iPad, Mac, Vision Pro dan juga Windows.

9. Siri + ChatGPT 4o

Siri menjadi pintar dengan suntikan Apple Intelligence dengan pemproses dilakukan terus pada iPhone. Ia turut menggunakan antaramuka baharu dengan sekeliling skrin akan menyala menggantikan ikon bulatan yang digunakan sejak sekian lama. Pengguna boleh menggunakan Siri untuk melakukan hampir semua perkara seperti Google Assistant. Akses kepada ChatGPT-4o turut diintegrasikan dengan pengguna tidak memerlukan langganan untuk menggunakannya. Kepada pelanggan ChatGPT+, anda boleh mengakses perkhidmatan ini terus menerusi Siri.

10. Mail Pun Semakin Bijak

Aplikasi Mail kini boleh menyusun emel mengikut kategori secara automatik dan emel yang mengandungi perkara penting seperti ada tarikh luput dan sebagainya akan dilabelkan sebagai emel paling penting. Emel dengan topik sama turut akan dikategorikan seperti emel resit pebelian dan emel mengandungi e-tiket penerbangan.

11. iMessage Semakin Menarik

Jika anda adalah pengguna tegar iMessage, kelak anda boleh menjadualkan bila sesuatu mesej boleh dihantar. Selain itu teks juga menyokong pelbagai format seperti Bold, Italic, Underline, berwarna dan banyak lagi. Anda turut boleh memberi reaksi dengan ciri Tapback. iMessage baharu juga menyokong pemesejan tanpa WiFi dan rangkaian menggunakan komunikasi satelit tetapi terhad untuk pengguna iPhone 14 dan iPhone 15 sahaja. Imej juga boleh dijana menggunakan Image Playground dan emoji unik dijana pula menggunakan Genmoji yang bertunjangkan Apple Intelligence.

12. Sokongan RCS

Saya menggemari penggunaan RCS pada peranti Android, namun kerana WhatsApp dan Telegram penggunaan ini kurang berleluasa di Malaysia. Dengan iOS 18 mula menyokong RCS untuk pengguna iOS berinteraksi dengan pengguna Android menggunakan iMessage, akan datang lebih mudah kerana tidak lagi menggunakan kredit tetapi Internet untuk setiap mesej. Cuma, peperangan buih biru dan buih hijau masih berterusan kerana RCS pada iOS 18 masih berwarna hijau kerana dilabel sebagai SMS.

13. Siri – Dikawal Dengan Gestur Kepala + AirPods Pro

Siri Interactions membolehkan pemilik AirPods Pro mengangguk atau menggelengkan kepala ke kiri atau kanan untuk berinteraksi dengan SIri. Kawalan menggunakan kepala ini boleh digunakan ketika berada di kawasan awan dan pemilik tidak mahu memberikan arahan suara yang lantang. Selain itu menolak panggilan telefon dan menguruskan notifikasi juga kini boleh dilakukan tanpa arahan suara.

14. Audio 3D Spatial Pada Permua

Personalised Spatial Audio membolehkan audio spatial dalam permainan video turut dinikmati menerusi AirPods (Gen 3), AirPods Pro, dan AirPods Max. Sebelum ini kandungan audio spatial hanya boleh dinikmati menerusi Apple Music dan Apple TV sahaja.

15. Genmoji

Jika dulu Apple telah mempopularkan Animoji kini mereka cuba mempopularkan Genmoji pula. Konsep yang sama cuma kini emoji dijana dengan kecerdasan buatan generatif. Ia disokong dalam iMessage dan beberapa lagi aplikasi. Pengguna boleh menjana Genmoji mengikut konteks, wajah orang lain, mod dan Memoji yang pernah dihasilkan sebelum ini.

16. Notes – Ringkasan, Smart Script Dan Transkrip Audio

Semua nota yang tulis pada aplikasi Notes kini boleh diringkaskan. Kemudian jika anda menggunakan Apple Pencil bagi mencatat nota, Smart Script boleh mengubah tulisan tangan menjadi seakan dicetak dengan ejaan salah turut boleh dibetulkan dengan satu klik.

Jika anda ada kepilkan rakaman suara pada Notes, ia kini boleh menjana transkripsi teks untuk mudah dibaca kemudian atau menjadi sumber rujukan. Notes juga menyokong Image Playground iaitu ciri menjana imej Apple Intelligence untuk sama ada mengubah lakaran menjadi lebih cantik dan kemas atau mengisi ruang kosong nota dengan imej bersesuaian mengikut konteks nota.

17. Nyahkunci Pintu Rumah Dengan Niat?

Mengawal sesuatu dengan niat atau seakan menjadi kesatria Jedi Star Wars adalah idaman ramai orang. Dengan aplikasi Home baharu pada iOS 18, anda bukan sahaja boleh menyuruh Siri mengawal robot penyedut hampagas atau menyemak penggunaan elektrik rumah tetapi anda juga boleh menyakuncu pintu rumah pintas apabila berdekatan dengan pintu secara automatik.

18. Notifikasi Lebih Pintar

Sistem notifikasi pada iOS sentiasa dikritik oleh orang ramai tetapi sejak kebelakangan ini dengan ciri rumusan notifikasi yang memberi peringatan kepada pengguna di waktu spesifik sangat membantu. Malah banyak yang saya terlepas boleh dilihat semula selepas tamat bekerja. Iterasi baharu ini lebih pintar kerana menggunakan AI untuk mengenalpasti kandungan notifikasi mana lebih penting akan diberikan lebih perhatian.


Sebanyak 18 ciri menarik telah saya senaraikan dalam artikel ini sebagai persediaan untuk anda mengemaskini iPhone anda nanti. Persoalannya, adakah anda boleh menggunakan semua ciri ini pada iPhone anda dan iPhone mana menyokongnya?

iOS 18 disokong pada 24 iPhone seperti yang disenaraikan di bawah, tetapi untuk ciri Apple Intelligence yang diproses dari dalam peranti ia terhad kepada iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max sahaja. Peranti Apple lain yang menyokong ciri AI ini adalah iPad dan peranti macOS dengan cip Apple M.

  1. Phone 15
  2. iPhone 15 Plus
  3. iPhone 15 Pro
  4. iPhone 15 Pro Max
  5. iPhone 14
  6. iPhone 14 Plus
  7. iPhone 14 Pro
  8. iPhone 14 Pro Max
  9. iPhone 13
  10. iPhone 13 mini
  11. iPhone 13 Pro
  12. iPhone 13 Pro Max
  13. iPhone 12
  14. iPhone 12 mini
  15. iPhone 12 Pro
  16. iPhone 12 Pro Max
  17. iPhone 11
  18. iPhone 11 Pro
  19. iPhone 11 Pro Max
  20. iPhone XS
  21. iPhone XS Max
  22. iPhone XR
  23. iPhone SE(Gen 2)
  24. iPhone SE(Gen 3)
Komen