Carian
Acer Kearah Produk Berkonsep Gaya Hidup, Tiada Perancangan Konsol Mudah Alih Ketika Ini
June 14, 2024 Amy Maizuraa

Kedudukan bahagian pasaran Acer pada masa ini secara umumnya berada pada yang baik khususnya sekitar Q2 2024, antaranya disokong oleh pertumbuhan lebih 50 peratus dalam jualan komputer riba gaming yang memberangsangkan khususnya di Filipina. Hal tersebut turut dididorong oleh acara tahunan Asia Pacific Predator League 2024 yang berlangsung di Manila pada awal Januari lalu.

Berfikir untuk jangka masa panjang, Acer sudah semestinya menyimpan hasrat untuk memperkukuhkan lagi peranan dan kedudukan pada masa akan datang. Selain juga akan memberi tumpuan kepada produk berkonsep gaya hidup dan bukannya perkakasan semata. Untuk ketahui lebih lanjut, sebuah wawancara bersama sekumpulan wakil Acer telah diadakan untuk perkongsian lebih mendalam. Barisan wakil Acer yang telah ditemubual terdiri daripada:

  • Presiden Acer Pan Asia Pasifik, Andrew Hou
  • Co-COO & Presiden Produk IT, Jerry Kao
  • Pengurus Besar, Perniagaan Produk Notebook James K. Lin
  • Pengarah, Pembangunan Perniagaan Produk Pengkomputeran Spatial, Jane Hsu
  • Pengurus Besar Sambungan, Wayne Ma
  • Pengarah Kanan Pengurusan Produk & Perniagaan Paparan Digital Acer, Marc Ho.

Menuju Ke Arah Produk Berkonsep Gaya Hidup

“Bagi pengguna, PC, Desktop & segmen permainan. Filipina adalah pasaran yang sangat kukuh untuk Acer” – Andrew Hou

Menerusi wawancara bersama sekumpulan wakil media di Taiwan baru-baru ini, Presiden Acer Pan Asia Pasifik Andrew Hou telah memerihalkan beberapa perkara berkenaan hala tuju syarikat pada masa akan datang. Berkongsi kepada media kedudukan Acer pada ketika ini berada di landasan yang kukuh di beberapa negara Asia Tenggara khususnya Filipina tetapi jauh lebih kecil di Jepun. Hal ini secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan yang cukup signifikan tentang mengapa berlakunya perbezaan tersebut.

Lalu Andrew berkata, terdapat beberapa kekangan yang dihadapi dan telah dikenalpasti oleh mereka. Salah satunya mereka berhadapan dengan situasi yang cenderung rumit dalam pasaran yang kompetitif seperti Jepun. Ini kerana rangkaian produk PC sememangnya mempunyai skala pasaran yang besar di Jepun dengan kelompok pengguna yang sedia mempunyai pilihan masing-masing. Diikuti juga buah fikiran yang signifikan tentang apa produk yang berprestasi. Keadaan yang mencabar lagi apabila sebahagian besar pasaran juga telah dikuasai oleh jenama dari negara itu sendiri.

Berbeza pula dengan pasaran Asia Tenggara seperti Filipina yang mempunyai populasi pengguna muda lebih besar dan bersikap terbuka untuk menerima idea baharu. Sekaligus menyaksikan Acer mampu membentuk pertumbuhan yang memberangsangkan dalam pasaran tersebut. Andrew turut menjelaskan aspek utama pertumbuhan tersebut turut didorong oleh segmen permainan melalui acara tahunan Asia Pacific Predator League yang pernah diadakan di Filipina, Indonesia dan Thailand sekaligus menjadikan jenama ini terus berkembang dan melihat hasil yang lebih positif untuk pasaran produk Predator.

Bagaimanapun kekangan yang berlaku itu di Jepun seharusnya tidak menjadi batu penghalang kepada Acer untuk terus mendominasi pasaran negara matahari terbit itu. Malahan terkini mereka sedang mempergiat usaha mempromosikan kehadirannya di sana dengan mempelbagaikan aktiviti yang boleh disertai orang ramai kelak.

Andrew turut berkongsi kejayaan Acer mengenai inisiatif RE100 yang kini melepasi sasaran awal sebanyak 40%. Kemudiannya terus mempergiat lagi usaha tertentu demi mencapai sasaran 100% penggunaan tenaga boleh diperbaharui lebih awal daripada yang disarankan iaitu 2035. Selain itu, beliau berkata Acer dalam perancangan besar untuk pembangunan teknologi kecerdasan buatan yang sedang berkembang pesat pada waktu ini. Dalam mengejar hal berkenaan Acer bekerjasama dengan jenama pemproses terkenal seperti Intel dan AMD untuk membangunkan strategi pemasaran yang berkesan.

Selain itu, Andrew memberitahu, tumpuan Acer kini lebih tertumpu ke arah produk berkonsep gaya hidup dan bukan lagi tertumpu pada perkakasan dan teknologi semata. Justeru langkah seterusnya Acer akan terus mencari cara untuk menjadikan produk mereka lebih menonjol kepada pengguna termasuk di bawah AcerPure sendiri.

Acer juga merancang untuk lebih agresif dalam menawarkan rangkaian produk AcerPure di Malaysia serta Indonesia pada masa akan datang. Namun mereka akui masih belum mempunyai sebarang penyelesaian khusus yang berasaskan aplikasi untuk sambungan kesemua produk yang lebih meluas sebaliknya melalui sambungan bluetooth dan WiFi pada waktu ini.


Tiada Perancangan Untuk Konsol Dalam Masa Terdekat

“Masih tiada tempoh masa. Memandangkan segmen itu (konsol) juga sangat kompetitif. Kami perlu memastikan produk yang kukuh sebelum menghasilkannya”- Jerry Kou

Sesi wawancara diteruskan lagi dengan wakil Acer yang berkongsikan tentang rancangan kemajuan teknologi pada masa hadapan termasuk untuk rangkaian peranti Spatial. Empat wakil yang memerihalkan perkara berkenaan terdiri oleh Co-COO dan Presiden Produk IT Jerry Kao, Pengurus Besar, Perniagaan Produk Notebook James K. Lin, Pengarah, Pembangunan Perniagaan, Perniagaan Produk Pengkomputeran Spatial Jane Hsu dan Pengurus Besar Sambungan Wayne Ma.

Memulakan wawancara dengan situasi perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat telah membawa perubahan besar dalam pelbagai bidang sekaligus mampu menyediakan akses ke informasi yang lebih luas. Namun ia sudah tentunya mendedahkan masyarakat kepada pelbagai ancaman dan serangan siber yang semakin kompleks.

Pada situasi seperti ini Acer berkata penyelesaian pelindungan sosial yang baharu dan inovatif diperlukan untuk mencapai tahap pelindungan pengguna yang berkesan. Justeru itu mereka bekerjasama dengan pihak tertentu dalam mencipta teknologi serta inovasi keselamatan untuk memastikan pengguna lebih selamat. Kelak akan ditawarkan pada produk baharu yang mendatang termasuk dengan keupayaan mengawal ciri AI ikut keperluan pengguna. Acer juga akui mereka sentiasa memantau maklum balas pengguna untuk melakukan penambahbaikan yang diperlukan pada produk yang dibekalkan kepada pengguna. Hasil daripada maklum balas ini dapat dijadikan panduan dan rujukan penambahbaikan untuk penyelesaian lebih berkesan dalam menghasilkan produk lebih berkualiti.

Ditanya pula berhubung perancangan peranti konsol mudah alih seperti yang dihasilkan beberapa pengeluar seperti ASUS dan MSI, Acer mengakui sememangnya mereka ada memberi perhatian untuknya namun masih belum ada tempoh masa khusus untuk melancarkannya. Memandangkan segmen itu juga sangat kompetitif, mereka perlu memastikan produk yang kukuh sebelum menghasilkannya. Terdapat juga beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dalam proses penghasilan iaitu keserasian antaramuka pengguna, model penggunaan dan harga jualan untuk pasaran bagi memastikan ia boleh diakses oleh ekosistem permainan pengguna. Apa yang boleh dikatakan sekarang hanyalah akan datang dan sentiasa mencari penyelesaian terbaik bagi tujuan R&D.

Mengulas pula kemajuan teknologi SpatialLabs pada masa akan datang, Acer berkata pihaknya akan terus meningkatkan pengalaman pengguna ke tahap lebih baik termasuk untuk rangkaian produk sedia ada. Seterusnya lebih bersikap proaktif dalam mencari penyelesaian kreatif untuk membolehkan produk digunakan bersama pelbagai solusi perisian. Sekaligus boleh digunakan dengan lancar oleh ramai pihak.


Monitor Lebih Besar Akan Datang

“Kami Sudah Mempunyai ciri AI Dalam Beberapa Monitor.” – Marc Ho

Sesi wawancara ini ditutup dengan perkongsian mengenai perkembangan pasaran monitor Acer bersama Pengarah Kanan Pengurusan Produk dan Perniagaan Paparan Digital Acer, Marc Ho. Beliau dalam satu kenyataan berkongsi pihaknya dalam persediaan hadir dengan monitor bersaiz baharu yang lebih besar dibawah siri Predator tidak lama lagi. Beliau turut menjelaskan rangkaian peranti Acer juga sedia mengintegrasikan sejumlah ciri-ciri berasaskan kecerdasan buatan dengan pendekatan yang lebih holistik. Misalnya seperti keupayaan melaras suhu warna berdasarkan persekitaran dan kandungan.

Imbas kembali, Acer merupakan salah satu jenama yang mengambil bahagian dalam pameran tahunan COMPUTEX 2024. Melaluinya pelbagai produk dan teknologi canggih telah dihasilkan untuk memudahkan keperluan pengguna di setiap era. Tema tahun ini ialah Connecting AI yang memberi tumpuan kepada teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang berkembang sangat pesat, dan mengubah banyak aspek kehidupan moden. Dengan berbuat demikian, Acer dilihat berjaya membawa inovasi yang mengubah cara pengguna berinteraksi dengan lebih moden.

Komen