Carian
Sekitar Reruai Acer Di COMPUTEX Taipei 2024
June 7, 2024 Amy Maizuraa

Sama seperti tahun sebelum ini, pameran tahunan COMPUTEX 2024 turut mengumpul pemain industri dengan teknologi dan produk terkini. Tema tahun ini ialah Connecting AI yang memberi tumpuan kepada teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang berkembang sangat pesat, dan mengubah banyak aspek kehidupan moden.

Acer juga tidak ketinggalan untuk mempamerkan pelbagai produk dan teknologi canggih yang dihasilkan untuk memudahkan keperluan pengguna di setiap era. Dengan berbuat demikian, Acer telah berjaya membawa inovasi yang mengubah cara pengguna berinteraksi dengan lebih moden. Dalam artikel ini kami akan menyenaraikan produk yang dipamerkan oleh Acer sepanjang pameran ini berlangsung.


Siri Acer Swift Baharu

Rangkaian model terpilih dalam siri Acer Swift menjadi tumpuan utama dalam acara ini. Misalnya seperti komputer riba Copilot+ baharu mereka iaitu Acer Swift 14 AI yang menampilkan pelbagai ciri AI yang dioptimumkan untuk produktiviti lebih baik. Perkakasan dalamannya dikuasakan oleh CPU Snapdragon X Elite dan Snapdragon X Plus, dengan kedua-duanya menyokong kuasa NPU (neural processing units) yang pantas bagi membolehkan tugasan kecerdasan buatan dilakukan terus pada peranti.

Padanan memori memori 32GB LPDDR5X-8533MHz dan storan SSD sehingga 1TB NVMe PCIe Gen 4 turut diberikan. Selain turut menyokong ciri AI terkini dalam Windows 11 yang termasuk Recall, Cocreator, Live Caption dan Windows Studio Effect. Bersama-sama dengannya Acer turut mempamerkan komputer riba mereka dengan CPU AMD Ryzen AI siri 30 yang akan mula ditawarkan sekitar Q3 2024.


Siri Acer Chromebook Plus Enterprise Baharu

Rangkaian Acer Acer Chromebook Plus Enterprise baharu didatangkan dengan pilihan CPU sehingga Intel Core 7 150U, memori sehingga 16 GB RAM LPDDR5X, storan sehingga 512GB PCIe Gen 3 NVMe. Selain turut mempunyai bateri 53Wh yang boleh bertahan sehingga 10 jam penggunaan dengan sekali pengecasan. Kesemuanya juga menyokong fungsi dipertingkatkan termasuk ciri Google AI untuk penggunaan yang lebih baik.

Misalnya seperti kamera web dengan ciri mengurangkan hingar Acer Temporal Noise Reduction (TNR) serta ciri AI yang meningkatkan kualiti video apabila digunakan. Dwi-pembesar suara berkualiti tinggi dengan DTS Audio dan skrin IPS LCD WUXGA/FHD juga melengkapi rangkaian komputer riba baharu ini. Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.2, dua USB Type-C (menyokong DisplayPort, pengecasan USB), satu USB 3.2 Gen 1 Type-A serta HDMI 1.4 pula antara pilihan sambungan yang disediakan.


Siri Acer TravelMate Baharu

Terdapat empat model baharu yang disediakan dengan tiga daripadanya dikuasakan oleh CPU sehingga Intel Core Ultra 7 bersama GPU Intel Graphics dan Intel vPro Enterprise terbina untuk prestasi lebih memadai. Tiga model tersebut ialah Acer TravelMate P6 14 (P614-73), TravelMate P4 Spin 14 (P414RN-54) dan TravelMate P4 16. Sementara itu Acer TravelMate P4 14 pula satu-satunya komputer riba TravelMate baharu yang diumumkan dengan CPU AMD Ryzen PRO 8040.

Turut disokong pada komputer riba ialah memori 64GB RAM DDR5 dan storan sehingga 1TB M.2 PCIe 4.0 NVMe SSD. Diikuti juga sambingan Wi-Fi 6E dan Bluetooth 5.3 bersama pilihan I/O termasuk dua USB Type-C (Thunderbolt 4), dua USB 3.2 Gen 1 Type-A, HDMI 2.0 dan pembaca kad mikroSD. Kesemua barisan TravelMate baharu ini dilengkapi dengan ciri AI baharu seperti Acer TravelMateSense untuk akses pantas pada tetapan peranti. Selain terdapat juga butang copilot terbina pada papan kekunci yang menyediakan cadangan serta bantuan untuk pelbagai tugasan.


Siri Acer Predator OLED Baharu

Acer telah menambah tiga pilihan monitor Predator baharu dengan saiz berbeza dalam usaha memenuhi keperluan dan kehendak pengguna. Bermula dengans saiz paling kecil iaitu Predator X27U F3 yang dilengkapi paparan OLED 26.5″ dengan resolusi WQHD. Paling menonjol tentulah pada sokongan kadar segar semula tinggi 480Hz yang diyakini mampu menawarkan pengalaman permainan cukup baik. Ia juga mempunyai port USB-C bersama dua port HDMI 2.1 untuk sokongan kedua-dua PC dan konsol. Diikuti juga soket pelekap tripod yang membolehkan pengguna menyambungkan kamera web atau lampu skrin untuk pengalaman penstriman lebih baik.

Teruskan lagi dengan dua buah monitor yang lebih besar bersaiz 31.5″ (Predator X32 X3) dan 34″ (Predator X34 X5). Kedua-duanya menggunakan panel sejenis OLED namun terdapatnya perbezaan dalam beberapa aspek. Misalnya Predator X32 X3 menawarkan skrin 4K dengan kadar segar semula 240Hz. Ia juga masih boleh digunakan dalam resolusi FHD dengan kadar segar semula 480Hz lebih pantas sekiranya mahu. Sementara itu Predator X34 X5 pula mempunyai sudut lengkungan 1500R yang juga menyokong UW-QHD (3440 x 1440), kadar segar semula 240Hz dan masa tindak balas 0.03ms.


Acer SpatialLabs Eyes Stereo Camera

Kamera ini boleh diklasifikasi sebagai produk paling menarik daripada Acer pada tahun ini. Pengenalannya juga pastinya menjadi tambahan baharu menarik dalam memastikan rangkaian SpatialLabs terus relaven dan mampu dimanfaatkan untuk banyak perkara. Umumnya Acer SpatialLabs Eyes Stereo Camera boleh berfungsi sama seperti kebanyakan kamera sedia ada. Ia mempunyai dwi-kamera 8MP di bahagian hadapan bersama skrin sesentuh LCD 2.41” terbina di belakang yang boleh dimanfaatkan untuk melihat gambar.

Namun tumpuan paling menonjol sudah tentulah lebih terarah pada kebolehan membuat penstriman 3D masa nyata. Seterusnya turut boleh dikongsi secara langsung menerusi platform yang menyokong seperti YouTube, Zoom, Google Meet dan Teams. Namun terdapat dua komponen utama yang diperlukan untuk tujuan tersebut iaitu kamera dan skrin yang menyokong teknologi Spatial Labs.


Siri Acer Aspire C Desktops Baharu

Pilihan komputer kerja desktop semua dalam satu baharu Acer menawarkan dua pilihan saiz iaitu 23.8″ (Acer Aspire C24) dan 27″ (Acer Aspire C27). Ia juga mempunyai saiz bezel yang nipis pada kesemua sisi menjadikan nisbah skrin ke badan boleh mencapai 95.7%. Kemudian diikuti dengan panel IPS LCD FHD dan nisbah aspek 16:10. Pilihan CPU pula sehingga sehingga Intel Core Ultra 7 dengan padanan GPU Intel Graphics, memori 32GB RAM DDR5 5600MHz dan storan 2TB M.2 2280 PCIe Gen 4 SSD.

Ciri lain yang ada pada dekstop ialah kamera 1440P QHD dengan sokongan dwi-mikrofon terbina. Selain turut menyediakan sambungan Wi-Fi dan pelbagai pilihan port yang termasuk empat port USB Type-A, port Type-C dan HDMI. Ciri lain yang ada pada kedua-duanya juga termasuklah Copilot AI Companion, perisian Intel Unison Software dan pilihan sambungan WiFi-7 berserta Bluetooth LE.


Siri Acer DA1 Dan Nitro GA1 (Google TV)

Kedua-dua siri Acer DA1 Dan Nitro GA1 disertakan sokongan Google TV. Sekaligus membolehkan pengguna mempunyai akses kepada sejumlah aplikasi popular seperti Netflix, Amazon Prime Video, Disney+, HBO Max, YouTube dan Google Cast dalam satu skrin. Kesemuanya juga dilengkapi dengan fungsi MultiView yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna untuk menjalankan pelbagai tugas dalam satu masa. Kedua-duanya juga boleh didapati dalam dua pilihan saiz iaitu 31.5″ dan 27″ namun berbeza pula untuk sokongan resolusi. Model Acer DA271K dan DA321QK mempunyai resolusi 4K UHD, sementara itu Nitro GA271U P dan Nitro GA321QU P pula menawarkan resolusi WQHD 180Hz.


Turut sama diperlihatkan ialah rangkaian basikal elektrik pintar mereka iaitu ebii dan Predator e-bike. Diikuti juga dua peranti penghala baharu iaitu Acer Wave 7 yang menawarkan teknologi Wi-Fi 7 terbaru untuk menyediakan liputan yang luas dan boleh dipercayai untuk rumah yang besar dengan pelbagai peranti. Sementara itu Predator Connect W6x pula menggunakan sambungan Wi-Fi 6 dengan tumpuan terhadap prestasi yang pantas untuk pengalaman permua yang lancar.

Komen