Carian
Ulasan Samsung Music Frame – Speaker Paling Bergaya
June 18, 2024 Effi Saharudin

Enam tahun lalu IKEA dan Sonos menawarkan speaker Symfonisk untuk digunakan pada ruang-ruang kecil di rumah. Ia serasi sekali digunakan dengan perabot keluaran IKEA seperti Kallax dan memulakan trend speaker yang kelihatan seperti sebahagian daripada perabot. Selepas menawarkan TV pintar The Frame, Samsung kini menawarkan pula speaker Music Frame ke pasaran Malaysia. Speaker ini memang ada gaya tetapi dikecewakan sedikit dengan oleh perisiannya.

SPESIFIKASI

Samsung Music Frame
JenisSpeaker pintar 2.0
PemanduEnam pemandu audio
Port I/OTiada
Audio DisokongDolby Atmos
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaYa
Butang fizikalYa
TambatanBluetooth
WiFi
AirPlay
Google Chromecast
Spotify Play
Bicu Audio AUXTiada
NFCYa
Harga Jualan RM 1999

REKAAN

Music Frame mempunyai tubuh berbentuk segi empat tepat dengan lebar 413mm, ketinggian 435mm dan ketebalan 159mm. Sekali pandang saya tidak perasan langsung Music Frame tidak mempunyai dimensi segi empat sama. Lebihan ketinggian ini adalah kerana pada bahagian dagu terdapat lampu LED yang menunjukkan kuasa dan juga tahap kelantangan muzik yang dimainkan.

Unit yang kami ulas mempunyai bingkai berwarna hitam tetapi Samsung ada menawarkan bingkai luaran Color Panel sama seperti yang wujud pada The Frame semasa ia dilancarkan. Tetapi di Malaysia sehingga artikel ini ditulis laman Samsung tidak menawarkan Color Panel secara rasmi di Malaysia.

Terdapat tapak logam berbentuk L yang memastikan speaker 4.6 kilogram ini berdiri teguh di atas permukaan meja. Tapak agak lebar memastikan ia tidak mudah terjatuh dan tidak bergetar apabila muzik dimainkan.

Di hadapan terdapat panel gambar yang boleh ditanggalkan. Music Frame boleh berfungsi sebagai bingkai gambar dengan gambar piring hitam yang diberikan juga boleh digantikan dengan gambar peribadi. Bingkai putih empat segi juga boleh ditukar dengan gambar yang memenuhi kesemua ruang bingkai jika itu yang anda mahukan.

Panel ini boleh ditanggalkan dengan menariknya keluar sama seperti kekisi fabrik pada speaker HiFi lama. Di belakangnya tersorok dua tweeter dan dua pemandu midrange di belakang panel plastik berongga yang tidak boleh ditanggalkan. Apabila beroperasi, audio daripada empat pemandu audio ini akan dihalakan ke depan menerusi alur antara panel hadapan dan panel belakang.

Di belakang pula terdapat dua lagi subwoofer bersaiz sederhana, ruang untuk kabel kuasa dan lubang penyangkut. Terdapat cagak dinding khas untuk Music Frame dengan ia diberikan dengan setiap pembelian speaker pintar ini.

Masih terdapat butang fizikal pada sisi kanan dengan ia terdiri daripada dua butang aras suara, butang bisu dan butang mod. Butang adalah jenis kapasitif yang saya rasakan terlalu sensitif. Akibatnya semasa cuba mengubah kedudukan speaker di atas meja, saya kerap kali tersentuh butang-butang ini. Speaker pintar ini secara keseluruhannya terasa premium dengan binaan yang teguh serta rekaan yang membuatkannya tidak ketara sebagai sebuah speaker.


KUALITI AUDIO

Kualiti audio adalah memuaskan untuk sebuah speaker yang saiznya kecil dan agak nipis. Muzik yang dialunkan tidak kedengaran rata dengan dapat didengari pemisahan pada setiap instrumen serta saluran kiri serta kanan. Dentuman bass juga memuaskan dan pada tetapan tinggi sekalipun panel hadapan tidak menghasilkan getaran yang tidak diingini.

Muzik yang paling serasi dimainkan menggunakan Music Frame ialah instrumental seperti Jazz, Blues, klasikal dan juga yang memberikan penekanan kepada vokal. Audio amat jelas dengan tidak timbul isu menjadi berserabut apabila semakin banyak instrumen dimainkan. Apabila muzik rock dimainkan, saya merasakan audio kurang menakjubkan jika dibandingkan dengan JBL Aunthentics 500 yang diulas beberapa bulan lalu. Perbezaan audio adalah dijangka kerana pada speaker JBL terdapat subwoofer yang lebih besar menembak ke bawah dengan tubuh pula diperbuat daripada kayu.

Dengan rekaan yang elegan, muzik yang serasi dimainkan pada Music Frame juga dari genre yang lebih elegan. Anda masih boleh memainkan muzik Trance, Rock, Metal, Death Metal dan Punk tetapi tetapan audio perlu diubah terlebih dahulu menerusi equaliser yang disertakan. Saya sedikit kecewa pratetapan audio yang diberikan adalah terhad tanpa tetapan untuk Rock. Apabila tetapan equaliser peribadi dilakukan, tiada pula pilihan menyimpan profil ini di bawah tetapan User.

Terdapat teknologi Space Fit yang menala audio mengikut saiz bilik. Tetapi demo sistem ini tidak ditunjukkan jadi saya tidak boleh mengatakan ciri ini berfungsi seperti diiklankan. Ciri yang setanding telah saya uji pada produk Sonos dan JBL tetapi harus saya katakan perbezaan audio tidaklah begitu ketara. Mod Active Voice Amplifier pula boleh menerangkan lagi suara penyanyi atau dialog di dalam filem yang ditonton. Dapat didengari vokal dilontar lebih ke hadapan dengan mod in membuatkannya kedengaran lebih jelas dan tidak ditenggelami alat muzik.

Dolby Atmos menerusi Q-Symphony pula adalah sekadar memuaskan. Di Amanz saya sudah mengulas sistem audio Samsung Soundbar Q990C. Dua satelit Q990C menawarkan audio Dolby Atmos yang lebih baik kerana mempunyai speaker yang menembak/menghala ke atas. Music Frame menembak ke depan sahaja oleh itu kesan Dolby Atmos yang dihasilkan tidak setanding.

Saya cuba gunakan Music Frame dengan TV di makmal Amanz. Audio yang dihasilkan memuaskan tetapi tidak setanding pengalaman audio yang boleh dinikmati menggunakan sistem soundbar dengan Dolby Atmos. Kekuatan Music Frame ialah untuk menikmati muzik dan bukannya untuk menjadi pengganti speaker TV.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Music Frame menyokong tambatan menggunakan bluetooth dan juga WiFi. Ia diakses menerusi panel di dalam aplikasi SmartThings. Pada peranti Samsung, proses menambat serta memasukkan Music Frame ke dalam senarai peranti mengambil masa beberapa minit. Pengguna Android pula boleh melontar muzik ke speaker menggunakan Google Chromecast atau Spotify Connect.

Saya merasakan sela masa untuk memindahkan audio dari telefon pintar Galaxy ke Music Frame adalah agak perlahan. Secara purata 4-5 saat diperlukan sebelum audio dimainkan di Music Frame selepas butang Cast atau Spotify Play ditekan dalam aplikasi Spotify. Sebagai sebuah speaker Samsung, saya mengharamkan proses pemindahan ini boleh dilakukan dengan lebih pantas. Selepas dipindahkan, audio boleh terus dimainkan terus pada Music Frame dan pengguna boleh melakukan aktiviti lain seperti bermain permua pada telefon tanpa risau ia akan turut dimainkan pada Music Frame.

Sambungan berkabel hanyalah menerusi kabel gentian optik tanpa sokongan bicu audio 3.5mm. Terdapat juga sebuah bicu USB-A yang hanya boleh digunakan untuk menyambungkan penyesuai Samsung Hub yang menjadikan speaker pintar ini hab untuk mengawal peranti internet berhubung di rumah.

Bagi pengguna ekosistem Apple, terdapat sokongan AirPlay untuk melontarkan kandungan peranti terus ke Music Frame. Seperti memancarkan audio dari peranti Galaxy ke Music Frame, terdapat juga lengah masa beberapa saat memindahkan audio dari iPhone ke Music Frame.

Dengan kata lain pengguna ekosistem Samsung, Android dan iOS tidak perlu risau mengenai keserasian Music Frame dengan ekosistem yang anda biasa gunakan pada peranti ataupun di rumah.

Sehingga lima Music Frame boleh digabungkan untuk memainkan audio daripada sumber yang sama. Aneh sekali di sini ialah jika anda memiliki dua Music Frame, memainkan muzik dari telefon pintar secara stereo (satu Frame menjadi speaker kiri dan satu lagi kanan) tidak boleh dilakukan. Pelik kerana ciri ini wujud pada Apple HomePod dan Google Nest. Pihak Samsung berkata pada waktu ini tiada perancangan menawarkan kemas kini untuk mengaktifkan ciri ini dalam masa terdekat.

PERISIAN

Pengalaman terbaik ialah menggunakan peranti Galaxy. Music Frame dengan mudah boleh diintegrasikan ke dalam ekosistem Samsung SmartThings. Pelbagai ciri seperti mengaktifkan ciri Space Fit, mengubah tetapan audio, mengubah tetapan equaliser dan mengawal audio yang dimainkan dilakukan terus dari dalam SmartThings.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Music Frame.

  • 1x Samsung Music Frame
  • 1x Bingkai gambar Music Frame
  • 4x Bucu untuk bingkai gambar cetakan sendiri
  • 1x Kabel dengan bongkah kuasa.
  • 1x Plag kuasa tiga pin.
  • 1x Tapak Music Frame
  • 1x Penyangkut dinding
  • 1x Set skru
  • 1x Manual

KESIMPULAN

Music Frame ialah speaker kecil dengan rekaan yang cukup elegan untuk di digunakan di ruang tamu. tanpa ia kelihatan seperti sebuah speaker. Seperti TV The Frame, Music Frame nampak bergaya dan pada waktu yang sama menawarkan pengalaman audio yang cukup memuaskan untuk sebuah speaker bersaiz kompak. Kekuatannya terletak pada rekaannya yang unik kerana tiada speaker lain sepertinya di pasaran. Sokongan ekosistem Samsung, Android dan Apple juga cukup lengkap maka pembeli tidak perlu risau Music Frame tidak serasi dengan sistem pintar yang digunakan di rumah.

Kekurangan terletak kepada perisian yang mengambil masa sekitar 4 saat untuk memindahkan audio dari telefon ke Music Frame. Ini berlaku pada peranti Samsung Galaxy, Google Android dan Apple iPhone yang saya ulas. Saya mengharapkan pemindahan audio lebih pantas seperti yang saya nikmati apabila menggunakan Apple HomePod.

Pada harga RM1999 ia adalah agak mahal tetapi masih saya rasakan berbaloi kerana mempunyai kombinasi audio yang baik serta rekaan elegan lain daripada yang lain. Di Malaysia ia kini ditawarkan pada harga promosi RM1499 sebuah untuk tempoh yang terhad menerusi laman Samsung.

Pro

  • Rekaan unik seakan bingkai gambar biasa.
  • Kualiti audio amat baik untuk saiznya.
  • Sokongan bluetooth dan WiFi.
  • Menyokong pelbagai ekosistem popular.
  • Panel hadapan boleh diperibadikan dengan gambar sendiri.
  • Dolby Atmos.

Kontra

  • Hanya kabel optikal disokong secara berwayar. Tiada sokongan 3.5mm.
  • Dua Music Frame tidak boleh berfungsi sebagai speaker stereo.
  • Perisian tidak cukup pantas memindahkan audio dari telefon ke speaker.
Komen