Carian
Apple Akan Membenarkan Rakaman Video 3D Spatial Melalui Lebih Banyak Aplikasi
June 20, 2024 Fahim Zahar

Jika anda memiliki iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max, anda boleh merakam video 3D spatial untuk ditonton pada Apple Vision Pro. Apple sangat mementingkan kaedah rakaman video ini sehingga iPhone 16 dijangka mengubah kedudukan kamera, bekerjasama dengan pelbagai syarikat untuk AOUSD bagi menyeragamkan kandungan 3D, bekerjasama dengan Blackmagic dan Canon serta dalam proses pembangunan set kepala pengkomputeran spatial yang lebih mampu milik.

Buat masa ini, rakaman video 3D spatial Apple hanya boleh digunakan melalui aplikasi kamera iOS. Akan datang, Apple akan membenarkan lebih banyak aplikasi menyokong mod rakaman ini. Apple akan mengintegrasikan API rakaman video 3D spatial ini ke rangka kerja berkaitan kamera sedia ada bagi memudahkan pembangun.

Apple menggabungkan rakaman video pada sensor sudut ultra lebar dan sensor sudut lebar utama. Rakaman hanya boleh dilakukan dalam keadaan melintang dan untuk kesan 3D ia hanya boleh ditonton dalam Vision Pro kerana dalam iPhone ia akan memaparkan video 2D biasa. Kelak semua barisan iPhone 16 dijangka akan menyokong mod rakaman baharu ini dan tidak lagi terhad kepada model Pro sahaja.

Komen