Beberapa tahun lepas, Microsoft juga ingin bersaing dalam arena telefon pintar dengan skrin boleh-lipat dengan Surface Duo mereka. Keunikannya adalah ia tidak menggunakan skrin OLED fleksibel seperti Samsung, sebaliknya menggunakan konsep dwi-skrin dengan sistem operasi Android yang diubah untuk kelihatan seakan Windows 11. Selepas Duo 2, Microsoft terus senyap tanpa mengumumkan model baharu. Baru-baru ini paten bagi Duo 3 telah tertiris.

Microsoft Surface Duo 3 dilihat mementingkan fotografi dengan mempunyai tiga sensor di belakang seakan kamera pada sebuah iPhone Pro. Bukan itu sahaja, peranti ini juga menggunakan skrin boleh-lipat seperti peranti pesaing dalam kategori sama. Paten Microsoft memperlihatkan skrin hampir nirbingkai penuh. Surface Duo 3 turut dikatakan akan menyokong sistem aksesori magnetik seakan MagSafe. Antara idea Microsoft adalah aksesori kaki boleh tanggal untuk digunakan dalam mod berbeza.

Surface Duo 3 turut mempunyai butang kuasa yang juga menjadi butang membuka skrin peranti. Ini adalah seakan Huawei Mate Xs 2. Sayang sekali ini hanya akan menjadi paten yang akan terkubur kerana projek peranti Android Microsoft telah ditamatkan sejak Panos Panay meninggalkan syarikat ini dan beralih ke Amazon.