CMF Phone 1 bakal dilancarkan pada 8 Julai tidak lama lagi. Ia merupakan peranti kelas asas pertama Nothing dan juga peranti pertama di bawah sub-jenama CMF by Nothing. Sebelum ini peranti ini dikatakan akan meminjam spesifikasi Nothing Phone (2a), tetapi yang tertiris baru-baru ini memperlihatkan spesifikasi lebih menarik.

Menurut Yogesh Brar, peranti ini akan menggunakan skrin AMOLED bersaiz 6.7-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Ia akan dijana cip MediaTek Dimensity 7300 baharu, dilengkapi dengan satu kamera utama 50MP + sensor kedalaman dan kamera swafoto 16MP. Bateri peranti adalah 5000mAh dengan pengecasan 33W, sistem biometri adalah imbasan cap jari bawah skrin dan memori peranti akan mempunyai dua variasi iaitu 6/128 GB atau 8/128 GB.
Sumber turut berkongsi harga pasaran India yang dikatakan adalah Rs 15,999 untuk 6/128 GB iaitu sekitar RM905 dan Rs 17,999 untuk 8/128 GB iaitu sekitar RM1018. Harga ini dikatakan adalah harga promosi, bermakna harga jualan sebenar mungkin sedikit lebih mahal. Diharapkan jika peranti ini dijual di Malaysia, harganya juga menarik dan mampu milik.