Carian
Google Gemini Akan Mempunyai Pilihan Suara Berbeza Tidak Lama Lagi
June 27, 2024 Fahim Zahar

Secara berperingkat, Google Gemini mula menerima banyak ciri yang sudah lama disokong pada Google Assistant. Diharapkan tidak lama lagi dua pembantu ini akan bergabung menjadi satu untuk penggunaan lebih mudah. Terbaru, Google akan membenarkan pengguna memilih suara untuk Gemini melalui Gemini voices.

Sama seperti Google Assistant, pengguna kelak boleh memilih suara Gemini dan tidak lagi terhad kepada satu seperti sekarang. Assistant mempunyai 12 pilihan suara berbeza sekarang, sementara tangkapan layar aplikasi Google mendedahkan Gemini akan mempunyai dua suara iaitu Ruby dan River. Saya amat mengharapkan suara yang lebih kurang sama Google Assistant diberikan kerana suara-suara ini sudah kedengaran natural.

Dengan pilihan Gemini voices, Google turut mungkin akan menawarkan suara selebriti atau pempengaruh seperti Meta AI. Baru-baru ini telah kami laporkan Google Labs ingin menawarkan chatbot AI berasaskan orang ternama dan Google Assistant turut pernah menggunakan suara penyanyi John Legend. Apa-apa pun saya tidak sabar menantikan pilihan suara untuk Gemini. Saya percaya ciri ini akan diberikan kepada pengguna dalam masa terdekat asalkan Google tiada kemelut dengan suara selebriti seperti OpenAI dan Scarlett Johansson.

Komen