Pocket Casts adalah aplikasi podsiar popular yang kini dimiliki oleh Automattic. Walaupun penggunaan aplikasi Android dan iOS ditawarkan secara sumber terbuka, pelan langganan untuk akses ciri premium masih ditawarkan. Terbaru, khusus untuk pelanggan Plus dan Patron mereka aplikasi Pocket Cast baharu untuk Windows dan Mac telah dilancarkan.

Pertama sekali, aplikasi Pocket Casts baharu dibangunkan dengan Electron untuk memastikan pengalaman penggunaan dan prestasi yang sama lancar tidak kira platform apa. Kedua, aplikasi baharu kini menyokong kemas kini di atas udara bermakna pengguna tidak lagi perlu muat turun versi baharu dan menggantikan versi lama.

Pocket Casts baharu turut menggunakan sistem indeks ID3 untuk ciri Podlove dan Podcast Index yang lebih menarik. Ini secara tidak langsung memudahkan pengguna mencari bab baharu dalam mana-mana topik podsiar kegemaran. Aplikasi ini turut menyokong pemain media mini yang memaparkan tetingkap kecil terapung untuk pengguna dengar dan kawal podsiar sambil melakukan tugasan lain.
Jika anda masih menggunakan Google Podcast, Pocket Casts adalah antara platform podsiar yang menyokong pemindahan data dari platform lain dengan mengimport fail OPML. Ikuti tutorial ini untuk memulakan proses pemindahan data.