Carian
Samsung Galaxy Ring Kelak Boleh Menjejak Dengkuran Ketika Tidur
July 1, 2024 Fahim Zahar

Tahun ini Samsung telah mengacah peranti boleh pakai baharu iaitu Galaxy Ring. Cincin pintar ini dikatakan boleh bertahan sehingga 9 hari, dijangka tersedia dengan pelbagai saiz menjelang Ogos dan mungkin akan ada pelan langganan. Terbaru, Android Authority menemui beberapa ciri menarik untuk Galaxy Ring menerusi kod tersembunyi dalam aplikasi Samsung Health.

Galaxy Ring seperti kebanyakan peranti boleh pakai di pasaran iaitu jam akan menyokong imbasan nadi, penjejakan tekanan, suhu kulit untuk ramalan haid,dan paling menarik ia turut boleh menjejak dengkuran tidur pengguna. Ciri dengkuran ini walau bagaimanapun memerlukan peranti Samsung dicas semasa tidur dan pengguna wajib membenarkan aplikasi Samsung Health merakam audio sepanjang tempoh tidur.

Setakat ini, ciri Galaxy Ring mirip dengan Galaxy Watch. Apa yang tidak pasti adakah cincin pintar pertama Samsung ini menyokong haptik untuk notifikasi atau akan terhad kepada pemantauan kesihatan dan kecergasan sahaja. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut.

Komen