CMF Phone 1 adalah sebuah peranti yang mengelirukan. Ia seakan peranti kelas asas tetapi dengan spesifikasi kelas pertengahan. Peranti ini akan bersaing dengan Oppo A3 Pro, realme 12 5G, Infinix GT 20 Pro atau juga Infinix Note 40 Pro di pasaran Malaysia.
Persoalannya, adakah fon asas Nothing lebih berbaloi? Saya akan cuba jawab dalam artikel ulasan ini selepas menggunakan peranti ini untuk hampir sebulan. Jika anda tertanya kenapa lambat, kerana stok aksesori tidak mencukupi sehinggalah minggu ini.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Skrin | 6.67″ Super AMOLED, 1080 x 2400, 395 ppi, 120Hz, 2000 nits, Ultra HDR+ |
Pemproses | Dimensity 7300 (4nm) 4x 2.5 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Cip Grafik | Mali-G615 MC2 |
RAM | 8GB LPDDR4X 8GB Maya |
Storan | 256GB UFS 2.2 |
Kamera Utama | 50MP, f/1.8 – Sudut Lebar Sensor Kedalaman – untuk potret 2x TrueLens Engine, Ultra XDR |
Kamera Depan | 16MP |
Bateri | 5000mAh Pengecasan Berwayar 33W |
Sim/Telefoni | Dwi-SIM 5G |
Audio | Speaker Mono |
WiFi, NFC, Bluetooth | WiFi 6, Tiada, Bluetooth 5.3 |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | IP52 |
Sistem Imbasan | Cap Jari Bawah Skrin |
Harga Jualan | RM1,099 (8/256 GB) |
CMF Phone 1 menggunakan skrin Super AMOLED 120Hz bersaiz 6.67-inci beresolusi FHD+ dengan kecerahan 2000 nits serta menyokong paparan HDR10+. Walaupun begitu, peranti ini tidak menyokong Widevine L1 untuk penstriman HDR di Netflix. Memandangkan ini adalah peranti kelas asas, ia juga tidak menyokong LTPO. PCip MediaTek Dimensity 7300 yang digunakan walaupun baharu, ia mempunyai spesifikasi lebih rendah berbanding Dimensity 7200.
Di Malaysia hanya ada variasi 8/256 GB. Kamera pula hanya ada satu sensor utama 50MP yang dipadankan dengan sensor kedalaman dan kamera swafoto adalah 16MP. Bateri pula 5000mAh dengan pengecasan 33W. Tiada sokongan untuk pengecasan berwayar atau berbalik disertakan.
Peranti tidak menyokong sistem NFC, tetapi terdapat perlindungan kalis air serta debu IP52. Keunikan pada CMF Phone 1 ini adalah panel belakang yang direka untuk senang dibuka dan digantikan dengan warna lain. Disebabkan itu peranti hanya dijual dalam warna hitam sahaja.
Butang laras suara berada di sisi kiri tetapi sedikit kecil dan terlalu rapat. Jadi saya kerap tersalah tekan butang. Di bahagian kanan hanya terdapat butang kuasa. Di atas adalah lubang mikrofon, sama juga di bawah ada satu lubang sama bersama-sama dengan slot kad SIM/mikroSD 2TB dan juga kekisi speaker.
Peranti ini amat ringan di dalam tangan membuatkannya terasa seakan peranti mainan. Ia juga mudah dikendalikan dengan satu tangan sahaja. Saya juga tidak risau untuk peranti jatuh kerana rekaan belakang yang rata serta panel belakang yang tahan lasak. CMF Phone 1 direka untuk tidak menggunakan sebarang kerangka pelindung tetapi Nothing tidak menghalang pengguna jika ingin menggunakannya.
BIOMETRI
Untuk sebuah peranti RM1099, imbasan cap jari bawah skrin optikal yang digunakan agak baik. Cuma, kadangkala ia kerap gagal membuatkan saya perlu imbas sekurang-kurangnya dua kali. Saya tidak menggunakan imbasan wajah pada peranti ini kerana pada hemat saya tidak perlu.
SKRIN
Peranti dalam kelas ini biasanya pengeluar menggunakan skrin LCD. Ada sahaja pesaing sudah mula menggunakan OLED jadi amat saya hargai apabila CMF by Nothing melakukan perkara sama. Skrin 6.67-inci pada peranti ini agak baik, cuma tidak cukup terang di bawah cahaya matahari yang terik. Kadar segar semula 120Hz juga konsisten memberi petanda, Nothing menggunakan sistem operasi dengan algoritma yang matang.
Ada sedikit lengah masa terasa dua atau tiga kali sepanjang satu hari penggunaan tetapi ia tidak menjengkelkan dan mengganggu pengalaman penggunaan saya. Namun saya tidak berpuas hati dengan Nothing dan Netflix kerana masih tidak mahu mengaktifkan Widevine L1 untuk penstriman HDR. Secara keseluruhan, saya boleh terima skrin peranti ini kecuali rekaan bezel sekata yang tebal yang kelihatan aneh untuk peranti 2024.
TELEFONI DAN GPS
Sudah lama saya tidak alami masalah sambungan Internet dan juga menerima isyarat untuk panggilan telefon. Entah kenapa CMF Phone 1 ini tidak mempunyai isyarat kuat untuk sambungan 4G, 5G dan juga WiFi. Ia tidak terputus tetapi rasa perlahan. Sementara panggilan telefon kadangkala lambat masuk dan suara ada sedikit sela masa. Nasib baik prestasi GPS adalah baik kerana tanpa internet sekalipun lokasi kenderaan apabila menggunakan Waze masih dapat dikesan.
PENGALAMAN PENGGUNAAN – NOTHING OS 2.6, ANDROID 14
CMF Phone 1 cuba menawarkan apa yang OnePlus bawakan menerusi siri Nord iaitu pengalaman sistem operasi peranti mercu pada peranti mampu milik. Mereka yang membeli CMF Phone 1 akan merasai Nothing OS yang sama seperti pada Nothing Phone 2. . Sebayak 99% ciri dan fungsi adalah sama kecuali tetapan Glyph Interface. Untuk saya yang menggunakan Nothing Phone (1), Phone (2) dan Phone (2a), Nothing OS pada CMF Phone 1 ini terasa aneh sedikit kerana ia lebih kosong dan ringan berbanding biasa.
Nothing OS 2.6 berasaskan Android 14 pada peranti ini menyokong semua widget Nothing yang menarik baik di skrin utama atau kunci skrin. Sokongan Always-on Display yang bagus, ada ciri menjana gambar latar dengan AI, ada kamera AI dengan TrueLens Engine, talam notifikasi yang bijak menguruskan aksesori Bluetooth, ada sokongan AirPods serta banyak ciri Android stok seakan Google Pixel.
Menggunakan Nothing OS pada peranti ini memang memuaskan. Ia seakan peranti Android One yang lebih berkuasa. Sistem lancar, nampak kosong tetapi padat dengan ciri dan fungsi menarik. Perkara paling saya tidak suka adalah sistem getaran murahan yang digunakan seakan telefon klon yang dibeli di Ali Express. Untuk CMF Phone 1, Nothing memberikan sokongan kemas kini versi Android sealam dua versi bermakna sehingga Android 16 dan kemas kini tampalan sekuriti untuk 3 tahun.
PENANDA ARAS DAN PERMUA
Seperti yang saya katakan di atas, Dimensity 7300 pada CMF Phone 1 adalah lebih lemah berbanding Dimensity 7200 Pro pada Nothing Phone (2a). Ini mungkin kerana MediaTek ingin memberi kebebasan pengeluar peranti merekabentuk sendiri cip Dimensity 7300. Jadi untuk pasaran Malaysia, peranti yang sesuai saya bandingkan bersama adalah Infinix Note 40 Pro dengan Dimensity 7020 dan Infinix GT 20 Pro dengan Dimensity 8200 Ultimate.
AnTuTu 3D
- CMF Phone 1 – 644,913
- Infinix Note 40 Pro – 450,320
- Infinix GT 20 Pro – 933,015
Geekbench 6
- CMF Phone 1 – 1044/2927
- Infinix Note 40 Pro – 1120/3338
- Infinix GT 20 Pro – 1244/3516
3DMark Wild Life Extreme
- CMF Phone 1 – 851/5.10 FPS
- Infinix Note 40 Pro – Tidak boleh diuji.
- Infinix GT 20 Pro – 1736/10.40 FPS
Bermain permua pada peranti tidak begitu memuaskan. Permua ringan seperti Marvel SNAP juga ada banyak lengah masa seperti animasi tidak lancar dan memberikan masa loading yang lama. Permua yang lebih berat seperti Asphalt 9 pun agak semput membuatkan saya keliru kenapa peranti kelas asas lain dalam harga lebih kurang sama boleh memberikan pengalaman bermain lebih baik. Nothing turut menyediakan Game Mode khas pada peranti ini dan ia masih tidak memberi pengalaman permua terbaik.
KAMERA
Fuh, saya adalah pengguna yang anti telefon yang tiada OIS pada kamera. CMF Phone 1 adalah peranti tersebut. Kerana ingin menjimatkan kos, peranti ini hanya menyertakan satu sensor berguna iaitu 50MP dan satu lagi sensor adalah untuk kedalaman khusus apabila mengambil gambar potret mod 2x.
Hasil gambar ada banyak kesan hingar dan kesan bergoyang. Butiran kamera belakang kurang baik berbanding kamera swafoto tetapi nilai dinamik tinggi dengan Ultra XDR cuba memberi profil warna seakan kamera peranti mercu. Saya turut menggemari mod TrueLens Engine yang ada penjelasan mengenai situasi sebelum mengambil gambar.
VIDEO
Peranti dalam kelas seperti ini, rakaman video adalah perkara yang saya akan elak. Pada awal saya berdegil kerana tidak ingin uji, selepas uji saya menyesal kerana hasilnya tidak memuaskan dan membuatkan saya marah kenapa dengan teknologi AI sedia ada, algoritma kamera baik sudah ada serta API kamera Google yang baik turut diberikan – Nothing tidak mengintegrasikan sepenuhnya untuk video.
AUDIO
Speaker mono juga bukanlah kegemaran saya. Banyak pesaing sudah berani menawarkan speaker stereo, tetapi mungkin kerana ini adalah telefon pertama CMF by Nothing jadi speaker mono padanya boleh diterima. Saya tolak tepi audio yang tidak seimbang pada peranti ini, kerana ia berjaya menghasilkan bunyi yang lantang dan cukup kuat. Aras suara juga konsisten membuatkan saya tiada masalah mendengar podsiar di dalam kereta. Mendengar muzik dan menonton video tidak memberi pengalaman terbaik.
BATERI
CMF Phone 1 hanya mempunyai bateri berkapasiti 5000mAh tetapi mempunyai ketahanan yang baik. Penggunaan ringan seperti media sosial, muzik, sedikit video dan permua tiada masalah bertahan sehingga dua hari dengan SOT 5 jam. Sementara penggunaan berat adalah sekitar 6 jam SOT dalam masa satu hari.
Pengecasan pantas 33W adalah berasaskan teknologi Power Delivery. Ia boleh mengecas dari 0% ke 50% dalam masa 20 minit dan bagi ke 100% adalah sekitar bawah satu jam. Ini adalah perkara yang saya bersyukur dan tidak ingin mengeluh kerana sudah cukup memuaskan.
EKOSISTEM AKSESORI
Amat jarang untuk sebuah peranti kelas asas mempunyai ekosistem tersendiri. Walaupun bukan dalam sistem yang pintar yang selalu berhubung dengan Internet, aksesori untuk CMF Phone 1 adalah lebih kepada menyerlahkan bakat kreativiti seseorang. Panel belakang peranti boleh dibuka dan ditukar dengan tiga warna lain (4 warna di India). Bukan itu sahaja, Nothing turut membenarkan ahli komuniti merekabentuk panel belakang sendiri dengan pencetak 3D.
Selain panel belakang, Nothing turut menawarkan dompet, tali lanyard dan dompet. Dompet ini hanyalah satu plat plastik dengan dompet ringkas yang menggunakan magnet MagSafe versi lebih lemah. Penggunaan aksesori ini agak menarik kerana membuka ruang untuk pelbagai peluang memperibadikan peranti menjadi unik mengikut perwatakan seseorang.
Binaan setiap aksesori ini agak lemah kerana hanyalah plastik biasa. Cara penggunaan juga spesifik kerana jika salah, panel belakang amat mudah patah. Aksesori yang saya rasakan cukup premium adalah tali lanyard yang tebal dan rasa kukuh. Setiap aksesori dijual pada harga RM59, sementara panel belakang dijual pada harga RM99.
PESAING
CMF Phone 1 | Infinix Note 40 Pro | Infinix GT 20 Pro |
6.67″ Super AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, 2000 nits, Ultra HDR+ | 6.78″ AMOLED, 1080 x 2436, FHD+, 120Hz | 6.78″ AMOLED, 1080 x 2436, FHD+, 120Hz, Video HDR |
Dimensity 7300 (4nm) 4x 2.5 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 7020 (6nm) 2x 2.2 GHz Cortex-A78 6x 2.0 GHz Cortex-A55 | Dimensity 8200 Ultimate (4nm) 1x 3.1 GHz Cortex-A78 3x 3.0 GHz Cortex-A78 4x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Mali-G615 MC2 | IMG BXM-8-256/Hyper Engine | Mali-G610 MC |
8GB LPDDR4X 8GB Maya | 8GB LPDDR4X 8GB Maya | 12GB RAM LPDDR5X 12GB Maya |
256GB UFS 2.2 | 256GB UFS 2.2 | 256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50MP, f/1.8 – Sudut Lebar Sensor Kedalaman – Potret 2X TrueLens Engine | Kamera Utama 108MP, f/1.7, OIS Sudut Lebar 2MP, f/2.4 2MP, f/2.4 | Kamera Utama 108MP, f/1.75, OIS Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro 2MP, f/2.4 Sensor Kedalaman |
Kamera Hadapan 16 MP | Kamera Hadapan 32 MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 32 MP, f/2.45 |
IP52 | IP53 | IP54 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Mono | Audio Stereo | Audio Stereo, JBL |
5000 mAh (Berwayar 33W) | 5000 mAh (Berwayar 45W) | 5000 mAh (Berwayar 45W) |
RM1,099 (8/256 GB) | RM1,098 (8/256 GB) | RM 1,299 (12/256 GB) |
APA DALAM KOTAK?
CMF by Nothing masih sama dengan Nothing, hanya memberikan perkara asas;
- 1x CMF Phone 1.
- 1x Kabel C-C putih.
- 1x Pin SIM dengan logo CMF.
- 1x Set panduan dan keselamatan.
KESIMPULAN
CMF Phone 1 memberi ruang untuk pelbagai peluang. Apa yang saya maksudkan di sini adalah walaupun peranti ini berada di tengah-tengah antara kelas asas dan kelas pertengahan, CMF by Nothing masih cuba membawakan satu pakej yang berbaloi.
Pertama adalah perisian kelas mercu, kedua adalah panel belakang semi-modular yang pengguna bebas tukar dengan panel lain atau tambah aksesori menarik. Ia tiada gimik, kemas kini 2+3 tahun, kamera 50MP yang baik serta bateri yang sangat tahan lama. Setakat sebagai telefon kedua, telefon untuk anak-anak atau kedua-dia ibu bapa adalah satu pilihan baik. Sekarang saya ingin saksikan pula apakah inovasi seterusnya oleh Nothing dan CMF by Nothing.
PRO DAN KELEBIHAN
- Skrin terang, 120Hz pantas dan bezel sekata.
- Rekaan ringkas, rasa tahan lasak dan mudah baiki (bukan sendiri).
- Panel belakang modular, boleh tukar atau tambah aksesori.
- Bateri tahan lama, hampir 2 hari.
- Sistem operasi ringan dan ringkas.
- Kamera 50MP tanpa gimik.
- Harga mampu milik.
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Skrin terang untuk di dalam bukan di bawah cahaya matahari.
- Tubuh peranti kusam yang mudah calar dan tidak tahan lasak.
- Masih terhad kepada 4 aksesori rasmi.
- Tiada sensor tambahan untuk zum/ultra-lebar.
- Prestasi Dimensity 7300 tidak memberangsangkan.
- Ciri AI generatif terhad kepada gambar latar.